Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang Asli dikait video kecam timbalan speaker dibebas

Seorang Orang Asli, yang ditahan atas dakwaan berhubung video yang dikatakan menyinggung perasaan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor, telah dibebaskan.

Lelaki berusia 48 tahun itu, dikenali sebagai Amok, dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam, kata peguamnya Siti Kasim.

“Amok berada di sana selama tiga malam. Dia berkata dia dilayan dengan baik dan dia diberi makan tetapi dia tidak berselera untuk makan.

"Saya harap kes itu akan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)," kata Siti kepada Malaysiakini hari ini.

Amok yang berasal dari suku Semelai ditahan di rumahnya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dibawa ke balai polis Sentul di Kuala Lumpur kira-kira jam 11 malam Rabu (17 Julai).

Menurut seorang aktivis Orang Asli Zurdi Baharu, Amok menjadi subjek laporan polis Ramli pada Selasa, dengan timbalan speaker itu menuduh Amok memfitnahnya melalui sekurang-kurangnya dua video yang dimuat naik di TikTok minggu lepas.

Ramli telah membuat laporan itu di balai polis Sentul mengikut Seksyen 504 dan 505(c) Kanun Keseksaan.

Kedua-dua peruntukan itu menjenayahkan penghinaan yang disengajakan yang mencetuskan pecah keamanan dan kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam dengan niat untuk menghasut.

Susulan itu, Zurdi menggesa Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands dan merupakan Orang Asli itu supaya lebih berbudi bahasa terhadap ahli komunitinya.

Pandangan yang sama turut dikongsi Siti hari ini.

Dia berpendapat Ramli telah menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya sebagai timbalan speaker dan ahli politik dalam memfailkan laporan terhadap Amok.

Menjelaskan perkara itu, dia berkata pihaknya akan terus memberi tekanan kepada Ramli untuk menarik balik laporan polisnya.

“Dia (Ramli) harus menerima bahawa ini adalah sebahagian daripada menjadi orang awam, seorang ahli politik.

“Awak tengok Amok lepas tu tengok Ramli... Nampak perbezaan pendidikan (tahap) dan perawakan.

"Dia (Ramli) tidak boleh begitu sensitif," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS