Bukan RM10 juta tapi RM100 juta, kata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berhubung 'ikatan' yang diletakkan pada setiap calon BN menjelang pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Membuat kenyataan umum bagi mengulas kemasukan Adun Rembia di Melaka, Muhammad Jailani Khamis, ke dalam PAS, Asyraf Wajdi berkata semua calon BN sudah menandatangani kontrak sebelum menerima watikah masing-masing.
Mereka itu, katanya, termasuklah Jailani yang menurunkan tandatangan sebelum bertanding dalam PRN Melaka pada 2021.
Selain itu, kata Asyraf Wajdi, semua calon BN juga menandatangani akuan bersumpah yang secara jelas menyatakan mereka akan meletakkan jawatan sebagai ahli parti dan wakil rakyat jika menyertai parti politik lain.
Langkah tersebut, tambah pengerusi Mara itu lagi, bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.
"Kedua (ikrar) untuk membayar balik kepada BN sebanyak RM100 juta.
"Kita sudah ada (duluan) kes melibatkan Zuraida Kamaruddin yang melompat dari PKR dan diputuskan oleh mahkamah tinggi supaya membayar balik (kepada parti) sebanyak RM10 juta.
"Tapi ingat, dalam kontrak BN jumlahnya bukanlah RM10 juta tapi RM100 juta," katanya.
Jailani merupakan ahli Umno yang kemudian menyertai PKR sehingga dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Rembia pada PRU 2018. Dia kemudian dilantik menjadi exco Melaka dalam kerajaan PH sebelum mengumumkan keluar dari PKR bersama beberapa Adun lain.
Ia membawa kepada tumbangnya kerajaan PH Melaka di sebalik mandat yang mereka terima pada 2018.
Jailani kemudian menyertai Umno semula selepas itu. Bagaimanapun ekoran pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat, Jailani menunjukkan penentangan dengan terus memihak kepada PN sehingga keanggotaannya digantung selama enam tahun.
Dia akhirnya diumum menyertai PAS pada 16 Julai lalu.
Sedia ‘bersihkan diri’
Dalam sidang medianya semalam, Jailani mendakwa dia berpaling tadah daripada kerajaan Melaka selepas ketua menteri, Ab Rauf Yusoh, memungkiri janji yang dibuat kepada rakyat dalam manifesto 2021.
Kata Asyraf Wajdi, Umno juga sudah meminda perlembagaannya berhubung isu menyertai parti lain dan ia dibuat sebelum PRU lalu diadakan.
Melalui peruntukan itu, katanya, seseorang yang menjadi ahli berdaftar untuk parti politik lain maka keanggotaan dalam Umno akan tergugur secara automatik apabila disahkan oleh majlis tertinggi.
Keanggotaan seseorang wakil rakyat juga, menurutnya, akan tergugur jika menyertai pakatan politik yang tidak disertai Umno, atau menjadi wakil rakyat bebas.
"Jadi tepuk dada, tanya selera. Sudah terhantuk baru terngadah, kita jumpa di mahkamah," katanya.
Sementara itu dalam respon segeranya Jailani, 52, berkata dengan langkah diambil Umno.
Kata Jailani dia akan mendedahkan dan menentang setiap "taktik buruk" Umno yang didakwanya bercanggah dengan undang-undang serta tidak berperlembagaan.
"Saya bersedia membersihkan hal ini di mahkamah," katanya.