Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (Risda) Manndzri Nasib menjelaskan isu tuntutan dan dakwaan agensi itu tidak membayar cukai tanah kepada kerajaan Pahang berjumlah RM78 juta melibatkan persefaham antara negeri dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa).
Ini melibatkan tanah-tanah di kawasan projek tanam semula berkelompok (TSB) dan tanam semula komersial (TSK) di kawasan penempatan Orang Asli di negeri Pahang.
Projek TSB dan TSK sebelum ini diuruskan Risda dan kini pengurusannya diambil alih oleh Pahang Orang Asli Corporation (Oraco), iaitu syarikat milik kerajaan negeri.
Menurut Manndzri, persefahaman antara Jakoa dan kerajaan Pahang itu dibuat sejak 30 tahun lalu dan Risda hanya diminta untuk membantu membangunkan tanah-tanah di kawasan penempatan Orang Asli.
"Ketika itu Jakoa minta Risda untuk bantu bangunkan tanah-tanah (kawasan) Orang Asli, jadi Risda bertindak sebagai pelaksana projek berkenaan.
"Hasil daripada projek itu kita pulangkan dalam bentuk dividen kepada mereka yang terlibat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Manndzri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekuti (CEO) Oraco Muhammad Olian Abdullah yang antara lain mengatakan Risda "lari" kerana enggan membayar cukai kepada kerajaan negeri sehingga menyebabkan projek itu "tunggang-langgang".
Dakwaan itu dibuat Muhammad Olian dalam satu ucapan yang dimuat naik di TikTok yang antara lain menafikan dakwaan pihaknya ingin merampas tanah di penempatan Orang Asli, sebaliknya mereka hanya menguruskan projek yang ditinggalkan Risda.
Dia juga menyatakan Oraco tidak menolak Risda keluar daripada tanah-tanah terbabit sebaliknya Risda gagal membayar cukai kepada kerajaan negeri bernilai RM78 juta yang dikenakan tidak termasuk premium dan denda.
"Kalau ikutkan saya difahamkan jumlahnya dalam RM500 juta, tetapi kerajaan negeri kenakan RM78 juta saja. Itu dia tak boleh bayar jadi dia (Risda) keluar," katanya dipetik daripada video berkenaan.
Manndzri berkata secara peribadi dia juga terkejut apabila perkara itu dibangkitkan kerana isu tanah berkenaan melibatkan persefahaman antara kerajaan negeri dan Jakoa.
"Kita terkejut juga, sebab ada persefahaman. Kita sebenarnya suka uruskan projek ini dan kalau boleh mahu Risda teruskan sebab kita sudah keluarkan modal.
"Kalau diminta teruskan, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan, tetapi kita diminta untuk tidak teruskan," katanya.
Dalam perkembangan itu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad menyifatkan isu berkenaan sudah lama selesai.
Katanya Oraco diminta mengambil alih dan bertanggungjawab terhadap projek berkenaan.
"Sebelum ini Risda agensi yang membantu untuk projek tanam semula (TSK dan TSB). Kini sampai masa anak syarikat kerajaan bertanggungjawab melaksanakan amanah," katanya dalam respon ringkas ketika dihubungi.