“Saya ingin bertanya," kata seorang pemimpin PKR semalam, "pihak mana yang ditujukan Qunut Nazilah itu? Kelompok ahli parlimen bukan Islamkah? Atau semua ahli parlimen yang menyokong hukuman (ke atas Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) termasuk yang Islam?"
Dapat dirasakan getar rasa bimbang Amidi Abdul Manan ketika dia melanjutkan ayatnya itu dengan bertanya: “Adakah kelompok itu adalah kelompok yang sewajarnya digonggong batang leher mereka oleh anjing-anjing Allah?"
Barangkali ahli politik memang begitu - semuanya adalah sampah dan remeh sehinggalah ia terkena pada batang hidung mereka sendiri.
Lama sebelum pemimpin PKR itu - serta ahli politik lain yang berkaitan - berasa getar dek kata-kata "anjing-anjing Allah" di Dewan Rakyat, ada ramai ibu bapa yang berasa kecewa apabila anak mereka dibacakan dengan Qunut Nazilah di tepi padang.
Ia menjadi lebih menyakitkan hati apabila aduan yang dibuat tidak diendahkan. Malah pada suatu ketika ia diremehkan.
Hanya kerana mahukan kemenangan dalam pertandingan ragbi, ada pelajar yang beramai-ramai membaca doa itu sejurus sebelum melangkah memasuki gelanggang.
Ia pernah berlaku di sebuah sekolah di Taiping, Perak pada Nov 2023 namun tidak ramai yang mahu mengambil perhatian. Kementerian Pendidikan Malaysia atau Jabatan Pendidikan Perak juga tidak boleh diharap untuk memberi panduan.
Ia berlaku lagi di sebuah sekolah di Sabak Bernam, Selangor pada akhir Jan tahun ini. Kejadian itu hanya menjadi perhatian pihak yang berkenaan apabila ia tular dan mendapat liputan beberapa media.
Bagaimana reaksi exco Selangor menanggapi insiden tersebut? Seperti yang dinyatakan di atas tadi, dia seolah-olah memandang remeh doa-doa kehancuran itu dibacakan ke atas anak-anak sekolah. Dan sudah tentu ia tidak melibatkan anak exco atau ahli politik yang bercokol di pusat kuasa negeri.
Di mata exco tersebut, dia tidak mahu isu berkenaan "dipolitikkan" malah menganggap ia "tidak perlu diperbesarkan." Entah dari celah mana dia melihat isu berkenaan mahu dipolitikkan.
Kebulur pada perhatian
Orang yang berkuasa memang susah dan jarang mahu merasai kebimbangan rakyat marhaen, termasuk apabila didoakan untuk dihancurkan. Pedulilah sama ada ia akan diperkenan atau tidak.
Isu yang mendasar ialah elemen ekstrem dan sesat yang menjalar dalam institusi sekolah dan dipandang remeh oleh penguasa.
Ia hanya menjadi perhatian apabila "anjing-anjing Allah" itu dihalakan ke "batang leher" orang politik yang penuh dengan wayang, helah dan gelojoh masing-masing.
Entah bilalah masanya orang politik mahu faham bahawa orang ramai semakin lama semakin meluat melihat antics mereka. Kenyataan ini adalah benar untuk semua ahli politik, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang.
Pada banyak keadaan, tindak-tanduk mereka tidak lebih daripada kebulur mencari perhatian, menjaga tembolok diri sendiri dan kawan-kawan, serta hanya berasa benar-benar cemas dengan orang ramai apabila berdepan dengan pilihan raya.
Selebihnya mereka hanya menghabiskan masa dengan berperangai kebudak-budakan. Kerana itu jugalah Qunut Nazilah boleh dibacakan dalam Dewan Rakyat hanya kerana kecewa salah seorang rakan mereka digantung daripada menghadiri sidang parlimen.
Macamlah kalau hadir setiap hari pun mereka boleh mengubah keadaan. Dalam keadaan tidak digantung pun, ramai saja ahli parlimen yang culas daripada bersidang seperti sepatutnya.
Qunut Nazilah ialah kata-kata yang benar, tapi malang sekali kini digunakan secara batil.
Oh ya, sementelah berlakunya insiden ahli parlimen membaca qunut di Dewan Rakyat, mungkin kerajaan wajar memikirkan kemungkinan mengehadkan kekerapan budak-budak sekolah melawat tempat undang-undang negara digubal itu.
Hal itu kerana keadaan sekarang sudah banyak berubah.
Jika tidak berapa lama dulu kita selalu risau kalau-kalau kehodohan perangai orang politik mungkin ditiru budak-budak di luar parlimen, kini nampaknya orang politiklah yang terpengaruh dengan kerenah budak-budak.
Siapa sangka kejahilan membaca Qunut Nazilah di tepi padang sekolah kini ditiru ahli parlimen. Melibatkan orang yang digelar tuan guru pulak tu!
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang percaya sesebuah masjid tidak memerlukan deretan kubah puluhan ribu ringgit setiap satu untuk dipanggil masjid.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.