Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Qunut Nazilah di parlimen: 'Inilah amalan politik melampau'

Tindakan ahli parlimen PN membaca Qunut Nazilah sebagai reaksi mereka terhadap penggantungan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal semalam, kata Saifuddin Nasution Ismail, telah mendedahkan sesuatu mengenai pembangkang.

Menurut Saifuddin tindakan menggantung ahli parlimen Machang tersebut dibuat mengikut proses yang sepatutnya di Dewan Rakyat serta bersebab.

“Saya katakan, inilah contoh amalan politik melampau. Kewujudan perbezaan politik terus dijadikan asas untuk memohon dia kehancuran.

"Ini bukan amalan Islam," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian sebagai mengulas tindakan ahli parlimen pembangkang membaca doa yang biasanya memohon pertolongan daripada Allah sambil mengharapkan kehancuran pada musuh Islam.

Dikenali sebagai Qunut Nazilah, doa itu sepatutnya dibaca dalam sembahyang. Ia berasal dari zaman Nabi Muhammad SAW ketika baginda dan umat Islam diperangi musuh agama.

Dalam konteks semasa doa itu sering dibaca umat Islam bagi mendoakan rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis di Gaza.

Semalam bacaan tersebut diketuai Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Menurut Saifuddin langkah Zulkifli mengepalai bacaan tersebut jelas ditujukan kepada musuh politik PN.

"Saya katakan bahawa itu bukan akhlak politik Islam dan jauh sekali ajaran Islam.

“Kelas dia cuba berselindung di sebalik imuniti parlimen, tapi saya nak seru rakyat Malaysia termasuk umat Islam supaya melihat perkara ini dengan hati yang jernih.

"Memang kita tahu kita berbeza dari segi pilihan politik bagaimanapun ia tidak boleh dianggap sebagai berbeza akidah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS