Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyelar ahli parlimen kerajaan selepas Dewan Rakyat mengundi untuk menggantung ahli parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada tugas parlimen selama enam bulan.
"Pengecut. Anda ejek dia 'jargon', tidak tahu apa-apa. Akhirnya anda yang menyalahgunakan kuasa legislatif anda untuk menghalaunya selama enam bulan," kata Khairy pada hantaran di Instagram.
Khairy mendakwa kritikan lantang Wan Ahmad Fayhsal terhadap penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat berkaitan Blackrock telah mengundang tindak balas kerajaan.
"Jelas sekali, dia (Wan Ahmad Fayhsal) menggerunkan anda. Macai BlackRock. Semoga duit Zionis berbaloi," kata bekas menteri kesihatan.
Semalam Wan Ahmad Fayhsal digantung daripada menghadiri sidang parlimen selama enam bulan ekoran usul Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana berbahas dan berhujah menggunakan surat layang pada 1 Julai.
Surat layang itu terkait dakwaan ke atas penjawat awam dengan maklumat yang tidak disahkan.
Usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal dibawa sendiri oleh Menteri di JPM, Azalina Othman Said. Selepas undi belah bahagi dijalankan, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengumumkan penggantungan tersebut dengan 110 ahli parlimen memberikan sokongan, 63 menentang, manakala tiga berkecuali. Seramai 46 ahli parlimen pula tidak hadir.
Dalam usulnya, Azalina berkata Wan Ahmad Fayhsal mengaitkan seseorang sebagai dalang dalam isu pengambialihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Sebelum Azalina mengemukakan usul, beberapa ahli parlimen PN bangkit untuk membantah tindakan ahli parlimen Pengerang berkenaan sehingga menimbulkan kekecohan.
Johari bagaimanapun tidak memberi peluang keadaan menjadi tidak menentu, sebaliknya membuka ruang untuk pihak kerajaan dan pembangkang membahaskan usul tersebut.
Perbahasan berlangsung hampir satu jam sebelum proses undi belah bahagi dilakukan.
[Baca berita asal]