Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan saman fitnah Dr Mahathir Mohamad terhadap Ahmad Zahid Hamidi kepada 26 Ogos selepas bekas perdana menteri itu dimasukkan sekali lagi ke Institut Jantung Negara (IJN).

Peguam Mahathir, Mior Nor Haidir Suhamimi memberitahu pesuruhjaya kehakiman Gan Techiong bahawa Mahathir dimasukkan ke IJN pada Isnin lalu, sehari selepas dia pulang dari London.

Peguam itu berkata, seorang doktor IJN pada Selasa mengeluarkan arahan untuk tidak membenarkan Mahathir, 99 dikeluarkan dari IJN bagi menjalani rawatan.

“Hari ini Mahathir sepatutnya memberi keterangan hari ini, tetapi dia masih di IJN sejak Isnin.

"Kami cuba mendapatkan Mahathir untuk dibicarakan hari ini, tetapi pakar (IJN) tidak membenarkannya dikeluarkan untuk hadir ke mahkamah," kata Mior.

Peguam Zahid, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman kemudian melahirkan rasa simpati terhadap tahap kesihatan Mahathir, dan berharap plaintif akan segera sembuh.

Gan kemudian mengingatkan pasukan peguam Mahathir bahawa kes saman itu belum selesai sejak difailkan pada 2022.

Ditangguh kali kedua

Pesuruhjaya kehakiman berkata penangguhan hari ini adalah kali kedua atas sebab yang sama, dengan menyatakan bahawa perbicaraan pada 13 Feb juga ditangguhkan atas sebab-sebab kemasukan Dr Mahathir ke IJN.

“Saya juga berharap Tun (Mahathir) cepat sembuh dan sihat untuk hadir ke mahkamah pada 26 dan 27 Ogos ini.

“Dengan segala hormatnya apabila kita semakin hampir dengan tarikh (26 Ogos), (peguam Mahathir) harus menasihatinya agar tidak pergi ke luar negara sejurus sebelum tarikh perbicaraan, dan berehat dengan baik supaya dia boleh hadir ke mahkamah.

"Kami bersimpati, tetapi kami tidak boleh terus menangguhkan atas sebab kesihatan, seperti pada 13 Feb dan hari ini," kata Gan.

Pesuruhjaya kehakiman itu kemudian berkata sekiranya Mahathir tidak dapat hadir ke mahkamah pada 26 Ogos, maka saksi lain seperti anaknya, Mukhriz perlu bersedia untuk memberi keterangan.

Pada 20 Julai 2022, Mahathir memfailkan saman sivil berhubung dakwaan Zahid yang membuat kenyataan memfitnah berkaitan asal usul keturuannya.

Mahathir mendakwa Presiden Umno berusia 71 tahun itu membuat kenyataan itu semasa berucap pada mesyuarat bahagian parti Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Semasa ucapan itu, Zahid yang merupakan menteri dalam negeri ketika itu menyentuh mengenai kad pengenalan (IC) Mahathir dan didakwa menyebut namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS