Internet semakin mendominasi kehidupan moden hari ini, bukan sahaja setakat memudahkan pencarian maklumat dalam masa yang singkat, malah juga membantu pelbagai bentuk kerja serta platform untuk berkomunikasi.
Kesannya terhadap masyarakat juga terus berkembang, seiring dengan kemajuan teknologi, memupuk inovasi dan ketersambungan global.
Ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah pengguna internet dan media sosial setiap tahun dan di Malaysia, menurut datareportal.com, sehingga awal 2024, terdapat 33.59 juta pengguna internet berbanding pada permulaan 2023 iaitu 33.03 juta.
Jaringan internet turut merevolusikan pendidikan negara dengan cara meningkatkan akses kepada dunia maklumat, memperluaskan lagi ruang pembelajaran termasuklah penggunaan laman web Google Meet, serta memperkayakan keseluruhan pengalaman pendidikan untuk pelajar merentasi semua peringkat umur.
Walau bagaimanapun, penggunaan internet yang meluas juga membawa membawa bersama ancaman keselamatan siber, termasuklah sebarang aktiviti berniat jahat yang bertujuan untuk menjejaskan keselamatan, integriti atau ketersediaan sistem maklumat dan data.
Ancaman siber wujud dalam pelbagai rupa termasuk buli siber, pancingan data (phishing), penipuan dan kecurian identiti media sosial, dan boleh memberi impak buruk kepada individu, melibatkan semua demografi penggunaan internet.
Keadaan ini amat membimbangkan khususnya untuk pengguna generasi muda, memandangkan ramai daripada mereka termasuk pelajar, amat bergantung kepada komputer, telefon pintar dan internet untuk menyiapkan tugasan sekolah mereka.
Pendedahan yang meluas dan tidak terhad ini meningkatkan kerentanan mereka terhadap ancaman ini, terutamanya apabila golongan ini kekurangan pengetahuan yang diperlukan untuk membentengi diri mereka dengan lebih berkesan.
Kurang pendedahan ilmu
Fakta bahawa dunia siber dan media sosial menjadi sarang penjenayah dengan kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada berdepan dengan risiko ini, turut mendapat perhatian serius Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), iaitu agensi kerajaan yang bertanggungjawab memantau dan mengawalselia perihal keselamatan siber di Malaysia iaitu
Ketua Eksekutif NACSA Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, terdapat beberapa punca utama mengapa anak-anak murid cukup mudah menjadi mangsa perangkap yang dipasang penjenayah siber ini, antaranya kurangnya kesedaran berkenaan kepentingan keselamatan siber.
"Memang mudah untuk kita bekalkan anak-anak kita dengan peranti bagi tujuan pendidikan mereka, tapi pemantauan secara berkesan terhadap aktiviti harian mereka di alam siber juga semakin mencabar.
"Bukan itu sahaja, kurangnya pendidikan formal terhadap keselamatan siber dalam kurikulum sekolah juga turut menjadi penyumbang kepada isu ini," jelasnya kepada BERNAMA ketika dihubungi, baru-baru ini.
Beliau menambah, peningkatan masa berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga turut mempengaruhi mereka, sehingga mampu mengubah cara mereka berhubung, berinteraksi dan menerima maklumat.
Keadaan itu, jelasnya, menjadikan kanak-kanak dan remaja lebih mudah untuk tertipu dengan permainan jenayah siber ini.
Tangani segera
Menurut Megat Zuhairy, NACSA mengambil beberapa langkah proaktif bagi tujuan mendidik generasi muda dalam menangani isu-isu semasa berhubung keselamatan siber di alam maya.
Antara langkah proaktif yang digerakkan bagi melahirkan generasi celik keselamatan siber adalah pelaksanaan program My Cyber Hero, bertujuan menyampaikan pendidikan dan kesedaran keselamatan siber kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Program tersebut wujud hasil kerjasama dengan syarikat Micro Concept Tech Sdn Bhd, sebuah organisasi yang fokus dalam membangunkan pelbagai program pendidikan serta mendapat kelulusan penganjuran dari Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Ia bakal menawarkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan menarik seperti bengkel pendidikan keselamatan siber, kuiz dan pertandingan secara bersemuka di peringkat kebangsaan. Kami berhasrat untuk mencapai ribuan pelajar di Malaysia, seterusnya memberikan mereka kebolehan dan pengetahuan untuk menjadi mahir dalam keselamatan siber.
"Mereka akan diberi pendedahan dan pengetahuan asas sains komputer dan rangkaian komputer, sebelum mereka diperkenalkan dengan aspek keselamatan dan pertahanan siber melalui penyertaan dalam dua siri bengkel dan dua peringkat pertandingan yang dianjurkan secara dalam talian dan bersemuka," katanya lagi.
Penyertaan program My Cyber Hero dibuka kepada seluruh pelajar sekolah rendah (kategori Rookie Cyber Hero) dan menengah (kategori Star Cyber Hero) mulai 13 Jun 2024 sehingga 20 Jun 2024.
Berdasarkan data yang direkodkan, sebanyak 1,122 pasukan dari sekolah rendah dan 468 pasukan dari sekolah menengah berjaya menghadiri bengkel pertama dan bertanding di peringkat kelayakan program My Cyber Hero. Jumlah peserta keseluruhan yang direkodkan adalah seramai 4770 orang.
"Jumlah ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan, menunjukkan minat pelajar dalam bidang ini amat menggalakkan. Semua peserta perlu menghadiri bengkel dan kuiz peringkat kelayakan pada 24 Jun membabitkan topik seperti Teori Rangkaian Komputer & Internet, dan Teori Keselamatan Siber.
"Manakala bengkel peringkat akhir berlangsung pada 9 Julai, antaranya membabitkan Amali Sistem Pengendalian (Windows OS) dan Amali Cabaran Gamifikasi Keselamatan Siber. Hanya 25 pasukan terbaik daripada setiap kategori akan disenarai pendek untuk bertanding secara bersemuka dalam Pertandingan Akhir Gamifikasi Keselamatan Siber pda 30 Julai ini," katanya, menambah ia akan dilaksanakan sempena NACSA Cyber Security Summit 2024 (NCSS 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Duta cilik siber
Pelaksanaan program sebegini pastinya membawa manfaat besar serta tampak relevan, khususnya bagi menyuntik semangat dan minat para pelajar dalam bidang keselamatan siber yang juga salah satu bidang teras dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tambah Megat Zuhairy lagi.
Ini kerana, katanya, mereka yang menyertai program berkenaan dipupuk lebih awal dengan minat dan kepakaran dalam bidang keselamatan siber seterusnya berpotensi menyambung pengajian ke peringkat kolej dan universiti serta menjadikannya sebagai kerjaya pilihan.
"Dalam jangka masa panjang, perkara ini bakal menyumbang kepada pertambahan bilangan pakar keselamatan siber yang diperlukan oleh negara dalam tempoh beberapa tahun lagi. Setakat ini, kita masih menghadapi isu ketandusan bakat keselamatan siber dengan jumlah terkini hanya ada 13 ribu pekerja mahir berbanding sasaran 25 ribu pekerja mahir menjelang 2025.
"Usaha ini juga penting disebabkan NACSA melihat aspek pembangunan kapasiti dalam bidang keselamatan siber sebagai satu agenda penting yang perlu diperkukuhkan bagi melengkapkan ekosistemnya di Malaysia, ini juga selaras dengan Akta Keselamatan Siber yang diperkenalkan baru-baru ini," katanya.
NACSA pada masa sama turut menyediakan program-program persijilan dengan kolaborasi dengan agensi swasta dan antarabangsa bagi mewujudkan program pembangunan kapasiti yang boleh menjadi satu platform utama dalam menjadikan Malaysia inkubator penghasilan bakat-bakat dalam bidang Keselamatan Siber.
Bantu tugas guru
Sementara itu, guru subjek Sains Komputer di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Hamidiah Kajang, Nurfaieza Rozlan berpandangan, program My Cyber Hero adalah satu tindakan bijak NACSA dalam membantu pihak sekolah untuk mendidik anak murid mereka berhubung setiap ancaman yang ada di internet dan media sosial.
Menurut beliau, memang benar sekolah ada menyediakan inisiatif sendiri termasuklah mewujudkan Kelab Komputer dan sebagainya bertujuan mendidik murid mengenai isu ini, namun ia dilihat masih belum mencukupi.
"Di sini, kita ada wujudkan Kelab Digital Komputer dan Robotik, malahan dapat penyertaan yang cukup tinggi dalam kalangan murid. Namun pendedahan yang diberikan kepada murid kadangkala tidak mencukupi dan tajuk berkaitan keselamatan siber tidak sempat dikupas dengan lanjut kerana perjumpaan aktiviti kelab terhad mengikuti jadual yang ditetapkan.
"Dengan adanya program sebegini, sedikit sebanyak dapat meringankan tugas dan tanggungjawab guru-guru sains komputer seperti saya, dan dalam masa sama bukan sahaja murid dapat ilmu baharu tetapi guru dan keluarga pelajar juga menerima manfaat yang sama," jelasnya.
Nurfaieza turut menzahirkan rasa syukur kerana program berkenaan memberikan pendedahan kepada anak muridnya agar tidak terus terpengaruh dengan ancaman siber seperti melayari laman-laman web yang tidak bermanfaat dan terhindar daripada gejala buli siber akibat penggunaan internet dan media sosial tanpa kawalan dan secara meluas.
"Kita amat risaukan perkara ini kerana ada murid-murid ini 'terlebih' pandai mengutip ilmu-ilmu kurang bermanfaat termasuk cara menggodam maklumat dan kata laluan pengguna media sosial bagi tujuan tertentu, lebih menakutkan semua ilmu ini ada yang diajar secara terbuka seolah-olah tiada pantauan pihak berkuasa.
"Adakalanya mereka ini terlalu naif dan terikut-ikut pengaruh rakan sebaya hingga terpengaruh dengan jenayah siber sebegini. Oleh itu, program My Cyber Hero diharapkan dapat mendidik mereka dengan ilmu yang lengkap untuk menggunakan internet dengan kaedah yang tepat serta berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan," katanya, berharap program sebegini dapat dilaksanakan secara bersemuka pada masa hadapan bagi memudahkan murid dari sekolah yang tidak mempunyai capaian internet yang baik untuk sama-sama menyertainya.
Sisipan
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) ditubuhkan secara rasmi pada Februari 2017 di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ia bertindak sebagai agensi peneraju yang bertanggungjawab ke atas tindakan menangani ancaman siber negara terutamanya dalam aspek kawal selia serta penguatkuasaan dasar dan strategi pengurusan keselamatan siber negara.
NACSA melalui Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara (NC4) yang dinaik taraf juga bertanggungjawab terhadap perlindungan keselamatan siber bagi entiti infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII).
Menyedari pencerobohan atau serangan ke atas infrastruktur kritikal boleh memberi impak yang besar kepada negara dan rakyat, Akta Keselamatan Siber (Akta 854) diperkenalkan sebagai salah satu usaha untuk memperkukuhkan keselamatan siber negara dan memastikan persekitaran digital yang lebih selamat untuk semua.
NACSA turut menjalankan program pengukuhan kapasiti dan pembangunan keupayaan dalam aspek keselamatan siber membabitkan kolaborasi bersama agensi kerajaan, pemain industri tempatan, institusi pengajian tinggi serta organisasi antarabangsa sebagai langkah meningkatkan kesedaran masyarakat serta melindungi ruang siber negara dengan optimum.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
- Bernama