Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memberi amaran kepada pengguna media sosial supaya tidak melakukan buli siber, dengan mengingatkan mereka bahawa tindakan mereka itu bukannya tidak boleh dikesan.

Bercakap di Dewan Rakyat pagi ini, dia berkata terdapat tanggapan yang salah di kalangan netizen bahawa mereka boleh terlepas dengan komen yang jelik jika melakukannya semasa siaran langsung.

“Ini peringatan kepada semua, seringkali dibuat sesi langsung, ada beranggapan masuk je la komen, nanti (akan) hilang.

“Tak betul tu.

“Saya nak maklumkan bahawa pihak MCMC dan PDRM (polis) mendapat kerjasama daripada platform-platform Medsos (media sosial) untuk mengenalpasti siapa yang meletakkan komen walaupun dalam sesi live (langsung),” kata Fahmi semasa Waktu Soalan Menteri di Parlimen.

Dia menjawab soalan berhubung buli siber yang dikemukakan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

Menjawab soalan berkaitan yang dikemukakan oleh R Yuneswaran (PH-Segamat), Fahmi berkata TikTok juga bersetuju untuk meningkatkan pemantauan kandungan dan sesi langsung di platform itu.

Ini susulan insiden buli siber baru-baru ini yang menyebabkan kematian pempengaruh media sosial Rajeswary Appahu, atau lebih dikenali sebagai Esha.

Menurut Fahmi, maklumat yang diterimanya menunjukkan Esha menjadi mangsa buli siber semasa sesi siaran langsung antara jam 3 pagi hingga 4 pagi.

“Memang mode pemantauan perlu berubah.

“Saya dalam perbincangan dgn pihak Tiktok, mereka memaklumkan mereka mengambil dan memandang cukup serius kejadian itu dan cukup terkesan, mereka telah segera tambah jumlah moderator yang akan meneliti termasuk konten dan juga sesi tentang live dalam bahasa-bahasa vernakular, termasuk bahasa tamil,” katanya.

Esha, seorang pempengaruh, ditemui mati pada 5 Julai, hanya sehari selepas membuat laporan polis berhubung ugutan jenayah dan fitnah di media sosial terhadap dirinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS