Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaliha: Mesin layan diri vape tanpa lesen akan dirampas

Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa menegaskan pihaknya memandang serius isu berkaitan aduan penjualan rokok elektronik (vape) menerusi mesin layan diri seperti yang tular sejak 10 Julai lalu. 

Dr Zaliha juga mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) bawah kementeriannya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menjual rokok elektronik itu.

“Saya sebagai menteri wilayah juga cakna akan hal ini dan insya-Allah kita akan melihat perkara ini ke depan dan melihat juga bagaimana kita boleh memantau perkara-perkara khususnya yang melibatkan kawasan-kawasan di Wilayah Persekutuan.

“Kita juga kena tengok dari sudut pelesenan dan kalau tak ada lesen kita akan rampas, itu bawah akta kitalah. 

“Cuma buat masa ini tiada lagi aduan diterima berhubung (mesin vape layan diri di Kuala Lumpur),” katanya selepas majlis pra pelancaran pesta bunga dan taman Royal Floria Putrajaya 2024, di Putrajaya, hari ini.

Baru-baru ini tular isu penjualan rokok elektronik itu menerusi mesin layan diri secara terbuka di salah pusat beli belah di Kuala Lumpur.

Penjualan tanpa pemantauan itu dikhuatiri mendorong remaja bawah umur atau pelajar sekolah terjerumus kepada budaya tidak sihat itu.

Sementara itu, Zaliha hari ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) memantau operasi mesin layan diri yang menjual rokok elektronik.

“Sudah tentu penjualan vape ini dalam pemantauan KKM dan saya punya pendirian sekarang pun sama juga bahawa pemantauan dan tindakan perlu dilakukan bagi mengawal keadaan itu dan ia boleh dilakukan juga dengan bekerjasama dengan agensi-agensi lain.

“Dan kalau ia melibatkan kanak-kanak, saya rasa kita juga sebagai orang awam, agensi berkaitan, sekolah, KPM perlulah memainkan peranan,” katanya.

Jumaat lalu, KKM mengeluarkan kenyataan bahawa mereka memandang serius aduan penjualan vape menerusi mesin layan.

KKM juga berkata akan menguatkuasakan sepenuhnya peraturan dan perintah bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), pada Ogos ini.

Selepas proses panjang dan mencabar sejak pertama kali dicadangkan pada 2022, Dewan Rakyat tahun lepas meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam.

Rang undang-undang itu melarang penjualan produk tembakau, bahan merokok, atau produk pengganti tembakau serta memberikan sebarang perkhidmatan merokok kepada kanak-kanak bawah umur.

Bagaimanapun, dalam perbahasan hangat 27 anggota parlimen, wakil rakyat kerajaan dan pembangkang sama-sama mengkritik ketiadaan peruntukan generasi penamat (GEG).

Zaliha, ketika itu masih menteri kesihatan, menjelaskan ia dibuat kerana pandangan peguam negara bahawa ia melanggar perlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS