Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat layang MAHB: Kerajaan bawa usul gantung Wan Fayhsal 6 bulan
Diterbitkan:  Jul 17, 2024 11:03 PM
Dikemaskini: 3:08 PM

Jabatan Perdana Menteri (JPM) esok akan membawa usul di Dewan Rakyat agar Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

JPM membawa usul itu atas tindakan Wan Ahmad Fayhsal membangkitkan surat layang ketika perbahasan Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu, berkaitan dakwaan ke atas penjawat awam JPM dengan maklumat yang tidak disahkan.

Usul itu antara lain menyatakan "Yang Berhormat Machang telah mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius dan bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan".

"Maka dipersetujui bahawa Yang Berhormat Machang hendaklah digantung daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan selama enam bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan," menurut aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat untuk esok.

Pada 1 Julai lalu, Wan Ahmad Fayhsal memetik sepucuk surat yang menamakan seorang kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai "dalang" rancangan penjualang pegangan Malaysia Airport Holdings Bhd.

Menurut usul itu lagi, dengan membangkitkn surat itu serta kandungannya yang tidak disahkan, Wan Ahmad Fayhsal bukan saja memberi kesan buruk kepada individu tersebut tetapi kepada pegawai-pegawai lain ekoran "tuduhan tidak berasas" tersebut.

Usul itu turut menyatakan ahli Parlimen ketika berbahas "tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat siapa-siapa pegawai kerajaan" kecuali tindakannya ketika melaksanakan tugas selaku penjawat awam.

Seorang pegawai Wan Ahmad Fayhsal berkata ketua Pemuda Bersatu itu akan mengadakan sidang media sebaik selepas usul dibentangkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS