Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh hari ini memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas keputusan kabinet baru-baru ini yang akan menamatkan kepahit penduduk rumah panjang Taman Rimba Kiara di kawasannya sejak tujuh tahun lalu.
Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Yeoh berkata kabinet memutuskan bahawa perumahan kekal mesti dibina di atas tanah seluas 4 ekar yang pada mulanya diperuntukkan sebagai tapak penempatan sementara untuk bekas pekerja ladang getah Bukit Kiara ketika kawasan itu mula dibangunkan.
“Selepas tujuh tahun bertarung di mahkamah, penduduk Taman Tun Dr Ismail akhirnya boleh mendapat jaminan eksekutif yang mengutamakan rumah baru untuk penduduk rumah panjang itu sambil mengekalkan Taman Rimba Kiara sebagai kawasan hijau.
“Kami berterima kasih kepada perdana menteri atas keputusan kabinet.
"Selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai Taman Rimba Kiara, jemaah menteri pula memutuskan kita mesti membina perumahan kekal untuk penduduk rumah panjang.
“Ini adalah kali pertama kita membuat keputusan kabinet yang mengutamakan keperluan perumahan penduduk rumah panjang dan pada masa yang sama mengekalkan Taman Rimba Kiara sebagai kawasan hijau,” katanya.
Tahun lalu penduduk terbabit memenangi kes penting apabila Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), dan syarikat pemaju Memang Perkasa Sdn Bhd untuk mengembalikan semula perintah pembangunan kontroversi ke atas beberapa bahagian Taman Rimba Kiara.
Diminta menjelaskan bila kerajaan akan mula membina rumah tersebut, Yeoh bagaimanapun berkata kabinet hanya memutuskan keperluan rumah kekal dan lokasinya.
“Tanah ini diberikan kepada YWP. Keputusan kabinet ialah jika YWP dan DBKL mahu membangunkannya, ia tidak boleh melebihi empat ekar.
“Taman Rimba Kiara mestilah kekal hijau di samping memberi keutamaan kepada perumahan rumah panjang. Itu keputusan kabinet,” tambahnya.