PARLIMEN | Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan terhadap 12 peruntukan dalam Akta Perubatan 1971, yang dirangka sebagai "penyelesaian" untuk isu berkaitan pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar, termasuk mereka yang ingin melanjutkan pelajaran pascasiswazah terpilih di luar negara.
Semalam, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kedua, dengan perbahasan berlanjutan sehingga tengah hari ini.
Dalam penggulungannya, Dzulkefly menjawab kerisauan beberapa ahli Parlimen pembangkang berhubung satu pindaan yang memberi kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC untuk memberi akreditasi kepada kursus kepakaran yang baru - tugas yang sebelum ini dilaksanakan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
"Saya harap Arau (Shahidan Kassim) faham bahawa apabila kita bawa pindaan untuk mengiktiraf kelayakan bagi pendaftaran pengamal perubatan di bawah akta ini, ia adalah sesuatu yang teratur dan 'regular'," katanya sebelum RUU itu dibentang di peringkat jawatankuasa, disusuli dengan bacaan ketiga dan diluluskan dengan undi suara.
Shahidan dan Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) antara ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan penambahan kuasa MMC di bawah pindaan baru dan jika ia boleh memberi kesan kepada mutu keseluruhan pakar berdaftar yang baru.
Ketika membentangkan pindaan semalam, Dzulkefly berkata RUU bertujuan menambah baik peruntukan berkaitan pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar dan untuk melaksanakan akreditasi untuk latihan menjadi pakar.
Dia berkata pindaan dicadangkan selepas perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan nasihat daripada Pejabat Peguam Negara - bahawa ada "kejanggalan perundangan" melibatkan dua jalan untuk pengamal perubatan menerima latihan menjadi pakar.
Jalan tersebut adalah menerusi program perubatan di universiti tempatan dan program parallel pathway, di mana kelayakan sebagai pakar diberi oleh institusi luar negara, namun latihan dijalankan di kemudahan milik Kementerian Kesihatan.
Perubahan frasa
Dengan pindaan baru ini, beberapa frasa utama di bawah seksyen 2 telah dibuang dan digantikan dengan takrifan baru.
Perubahan itu termasuk frasa "institut latihan yang diiktiraf" yang digantikan dengan "institusi pendidikan tinggi tempatan"; frasa "kelayakan pakar yang diikitraf" dibuang dan dimasukkan ke satu jadual berbeza dalam akta itu; dan meminda takrifan "pengamal perubatan berdaftar" untuk memasukkan pakar sebagai sebahagian daripadanya.
Sementara itu, pindaan dalam seksyen 3 dan seksyen 4 berkaitan dengan fungsi MMA sebagai badan profesional yang bertanggungjawab untuk mendaftar pengamal perubatan sebagai pakar.
"Fasal 4 bertujuan untuk meminda perenggan 4A(2)(h) Akta 50 untuk memberi kuasa kepada Majlis (MMC) untuk mengiktiraf kelayakan dan latihan kepakaran bagi pendaftaran pengamal perubatan dan pakar," kata Dzulkefly.
Peningkatan kuasa MMC
Sementara itu, fasal kelima hingga kelapan menyaksikan perubahan dalam seksyen 14A, 14B dan 14C bagi menjelaskan peraturan khusus berkenaan pendaftaran pakar oleh MMC.
Menurut Dzulkefly, menerusi perubahan ini, MMC akan diberi kuasa untuk memutuskan, meluluskan atau mengiktiraf sebarang bidang kepakaran yang baru tanpa perlu merujuk mana-mana akta lain, termasuk Akta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2007.
"Dengan adanya peruntukan dalam Perenggan 14B(3)(a), semua latihan kepakaran baru sama ada Program Sarjana Perubatan atau Laluan Parallel perlu mendapatkan kelulusan dan pengiktirafan MMC," katanya.
Dia berkata semua program akan dinilai berdasarkan Malaysian Standards for Medical Specialist Training dan piawaian standard yang lebih spesifik mengikut bidang kepakaran, Speciality Specific Requirements yang disediakan MMC.
Selanjutnya, dia berkata MMC juga akan diberi kuasa untuk membuat syor kepada menteri kesihatan untuk mana-mana pengamal perubatan didaftar sebagai pakar, jika pengamal tersebut tidak memenuhi kelayakan di bawah akta namun memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Dalam mengiktiraf peranan MMC, Dzulkefly berkata perubahan turut diperkenal bagi menambah bilangan wakil perkhidmatan awam dalam MMC, serta wakil daripada universiti dan kolej tempatan.
Akhir sekali, dia berkata perubahan turut merangkumi peruntukan peralihan dan pengecualian bagi memastikan keteraturan pendaftaran pengamal perubatan antara 1 Julai 2017 - ketika RUU pindaan sebelum ini dikuatkuasakan - sehingga pindaan baru diwartakan.
"Pada masa hadapan, kita tidak mahu ada pihak yang cuba mempersoalkan ketidakaturan ini.
"Kita tidak mahu juga kerajaan terus terdedah dengan risiko perundangan sebenar atau real legal risk yang berbangkit daripada prinsip jangkaan sah atau legitimate expectation dari kalangan pengamal perubatan yang telah menjalani latihan kepakaran tersebut," katanya lagi.