Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis Mythreyar setuju hentikan mogok lapar pada jam ke-200 esok
Diterbitkan:  Jul 17, 2024 5:07 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Selepas mengadakan mogoklapar lapan hari sebagai membantah penjualan saham Malaysia Airlines Holdings Bhd (MAHB) kepada sebuah syarikat berkaitan Blackrock, seorang aktivis pro-Palestin akan menghentikan tindakannya itu, esok.

Dalam kenyataan media, jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) Tian Chua berkata M Mythreyar bersetuju dengan permintaan sekretariat itu untuk menghentikan mogok tersebut.

Tian Chua

"Sekretariat Solidariti Palestin melahirkan rasa hormat dan penghargaan kami terhadap segala rintangan dan kepayahan yang dialami oleh Mythreyar. Walaupun kami mengagumi keberanian dan ketabahan yang ditunjukkan, kami bimbang dengan tahap kesihatan beliau yang semakin merosot.

"Beberapa doktor telah memeriksa beliau dan akan terus memantau keadaan kesihatannya. Mereka juga telah memberi amaran tentang kemungkinan kesan kesihatan jangka panjang akibat mogok lapar ini. Mengambil kira perkara ini, kami telah merayu kepada Mytheyar untuk menghentikan mogok laparnya.

"Esok akan memasuki hari ke-9 protes yang dijalankan Mythreyar. Menjelang jam 4:30 petang esok, akan menandakan 200 jam sejak dia memulakan aksi mogok lapar. Beliau telah bersetuju untuk berhenti pada jam ke-200," katanya.

Namun, kata Tian kempen tersebut tidak akan terhenti.

Katanya, satu sidang media akan diadakan di Dataran Merdeka pada jam 4 petang, esok.

Sebelum ini, Mythreyar, 45 dari Tanjung Malim mengadakan mogok lapar di Dataran Merdeka meminta kerajaan membatalkan penjualan MAHB kepada GIP sebuah syarikat yang didakwa berkait rapat dengan Blackrock.

Kenyataan SSP itu, bagaimanapun tidak menyebut tentang status seorang lagi aktivis, Siti Aisah Ibrahim, 31, dari Ampang yang menyertai mogok lapar itu sejak 4.30 petang semalam.

Blackrock menjadi sasaran boikot kerana melabur dalam syarikat yang menjual senjata kepada syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel.

Konflik terbaru di wilayah Palestin sejak Oktober lalu, mencatatkan kematian hampir 40,000 orang.

Tawaran pengambilalihan MAHB adalah transaksi komersial yang dikemukakan oleh konsortium yang diketuai oleh dua pemegang saham semasa MAHB, iaitu Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sekiranya tawaran itu diterima dan dipersetujui oleh pemegang saham MAHB yang lain, Khazanah akan memiliki 40 peratus saham dalam MAHB dan KWSP akan memperoleh 30 peratus pemilikan, manakala Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) akan memegang 30 peratus lagi saham.

Mogok lapar satu bentuk protes politik yang digunakan di seluruh dunia. Sesetengahnya berakhir dengan kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS