Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ab Rauf uruskan isu Adun Rembia masuk PAS, kata Zahid
Diterbitkan:  Jul 17, 2024 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Umno kini menyerahkan isu penyertaan Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis, ke dalam PAS untuk ditangani Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Memetik kenyataan Ahmad Zahid Hamidi, BH Online melaporkan, selepas itu perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Tertinggi Umno.

Menurut Presiden Umno itu, Ab Rauf diberikan tugas tersebut sesuai dengan kedudukannya sebagai pengerusi Umno Melaka sekali gus pemimpin tertinggi BN negeri itu.

"Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka (Ab Rauf) dan saya serahkan sepenuhnya kepada beliau selaku Pengerusi BN Melaka dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka untuk mengambil tindakan.

"Tindakan itu juga beliau akan bawa kepada Majlis Tertinggi Umno," katanya yang dipetik selepas merasmikan majlis pelepasan peserta Program Inisiatif Malaysia-China Institute (MCI) di Kuala Lumpur hari ini.

Jailani merupakan ahli Umno yang menyertai PKR sebelum dicalonkan parti itu - bersama PH - dalam PRU 2018 yang menyaksikan BN ditumbangkan di Melaka.

Bagaimanapun kesan daripada Langkah Sheraton pada 2020, Jailani bersama tiga lagi Adun Melaka mengambil keputusan menyokong PN membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Ia menyaksikan kerajaan PH - yang mendapat mandat pada 2018 - ditumbangkan.

Selain Jailani, tiga lagi Adun yang berpaling tadah ialah Norhizam Hassan Baktee (Pengkaan Batu), Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Selepas sembilan bulan menjadi Adun bebas di Melaka, Jailani kembali ke pangkuan Umno dan ia diumumkan pada 2 Jan 2021.

Dia bagaimanapun digantung keahlian oleh Umno pada Sept 2023 kerana menyertai kem PN dalam kempen bagi dua pilihan raya kecil di Johor iaitu DUN Simpang Jeram dan parlimen Pulai bagi mencabar calon kerajaan perpaduan.

Semalam PAS mengumumkan Jailani kini menjadi ahli parti itu selepas mengemukakan permohonan pada 10 Jun 2023. PAS menerima permohonan tersebut pada hari yang sama.

Dia memberi alasan mahu menghadapi susah dan senang bersama rakyat di sebalik langkahnya menyertai PAS.

Dengan tindakan tersebut, Jailani menjadi wakil tunggal PAS dalam DUN Melaka dan akan bertindak sebagai pembangkang bersama dua lagi Adun Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS