Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warga Pakistan didakwa dalang sindiket pengemis dibebaskan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan seorang warga Pakistan yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas dikaitkan dengan sindiket menggunakan warga asing dan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti mengemis di sekitar ibu negara.

Hakim Azhar Abdul Hamid membuat keputusan tersebut selepas mendengar permohonan habeas corpus Malik Abid Hussain yang ditahan di Depoh tahanan Bukit Jalil selama 22 hari sejak 25 Jun lalu.

"Mahkamah membebaskan Malik selepas mendapati beliau dia dilucutkan hak akses kepada peguam sejak ditahan.

"Mahkamah juga mendapati bahawa keputusan JIM menafikan akses peguam kepada Malik melanggar Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan," kata peguamnya Selvam Shanmugam kepada Malaysiakini.

Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan: jika seseorang ditangkap maka dia hendaklah diberitahu dengan seberapa segera yang boleh alasan-alasan dia ditangkap dan dia hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh seorang pengamal undang-undang pilihannya.

Selvam juga memberitahu bahawa anak guamnya ditahan di depoh selama 22 hari tanpa dituduh di mahkamah.

JIM diwakili timbalan pendakwa raya Izzah Haziqah Abdul Razak.

Untuk rekod, pada 26 Jun lalu, JIM Kuala Lumpur dilaporkan melumpuhkan sindiket menggunakan warga asing dan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti mengemis di sekitar ibu negara dalam serbuan di Jalan Sultan Azlan Shah.

Lebih menyedihkan bayi dan kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga enam tahun diberikan ubat dipercayai untuk ‘ditidurkan’ sebelum dibawa oleh warga asing dewasa bagi menjalankan aktiviti mengemis di sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India dan Jalan Sentul pada waktu pagi.

Difahamkan bangunan rumah kedai itu turut dijadikan petempatan untuk warga asing disyaki dari Pakistan, Indonesia dan India dengan kadar sewaan RM800 sebulan yang didiami kira-kira lapan individu dalam satu bilik kecil termasuk beberapa kanak-kanak.

Serbuan itu turut berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen pasport yang berselindung di sebalik perniagaan kedai dobi, alat telekomunikasi dan kedai gunting rambut.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang berakhir kira-kira 12 tengah malam itu dijalankan berdasarkan hasil risikan selama enam bulan di lokasi itu.

Dia berkata seramai 79 warga asing dan seorang lelaki warga tempatan dengan semuanya berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun ditahan.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Akta Pasport 1966 (Akta 150).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS