Sayap wanita MIC meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan ke atas pembuli mendiang pempengaruh, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha.
Semalam, pemilik rumah kebajikan yang dikaitkan dengan kematian itu hanya dikenakan hukuman RM100 sahaja.
Ketua Wanita MIC, N Saraswati berkata hukuman itu sangat ringan jika dibandingkan dengan dakwaan kesalahan yang akhirnya menyebabkan mangsa meragut nyawanya sendiri.
"Hukuman ini dilihat sebagai tidak adil dan tidak mencerminkan seriusnya kesan buli siber terhadap mangsa.
"Buli siber adalah satu jenayah yang boleh membawa kesan psikologi yang mendalam kepada mangsa, termasuk tekanan mental dan dalam kes yang ekstrem, membawa kepada kehilangan nyawa seperti terjadi hari ini. Adakah nyawa mangsa hanya bernilai RM100?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Adun Kemelah itu menegaskan bahawa undang-undang sedia ada perlu diperkukuhkan dan hukuman yang lebih berat perlu dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam jenayah buli siber.
"Kita perlu menghantar mesej yang jelas bahawa buli siber tidak sesekali ditoleransi dan pesalah perlu menerima hukuman setimpal dengan jenayah dilakukan tidak kira apa jua situasi.
"Meskipun semalam Jemaah Menteri didesak untuk meneliti semula undang undang berkaitan buli siber ianya perlu diambil serius dan harus disegerakan," katanya.
Semalam, P Shalini, 35, dijatuhi hukuman denda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok alphaquinnsha dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Lorong Kolam Air 8, Jalan Ipoh di sini pada 4.10 pagi, 1 Julai lepas, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Majistret MS Aruljothy turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tujuh hari, jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut fakta kes, pengadu iaitu orang awam menemukan akaun TikTok alphaquinnsha atas nama tertuduh telah memfitnah mangsa dan membuat beberapa ugutan untuk mencederakannya.
Shalini juga membuat siaran langsung di TikTok dan membuat ugutan serta ancaman kepada individu yang menentangnya. Berikutan itu, laporan polis dibuat.
Selain Shalini, pemandu lori B Sathiskumar, 40, juga didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi TikTok menggunakan nama profil “@dulal_brothers_360”.
Dalam pada itu, Wanita MIC juga sebulat suara menyeru pihak berkuasa untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan buli siber dan memastikan bahawa hukuman yang dikenakan mampu menjadi pengajaran dan mencegah berlakunya kes-kes buli siber di masa hadapan.
"Sekiranya hanya hukuman ringan, perkara ini tidak berhenti di sini sebaliknya negara ini akan diperkotak katikkan oleh golongan pembuli ini.
"Keselamatan dan kesejahteraan mental rakyat kita adalah keutamaan, kita tidak boleh berkompromi langsung.
"Keadilan bukan untuk mendiang Esha sebaliknya untuk ramai lagi mangsa diluar sana, sesuatu harus dilakukan," katanya lagi.