Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada tonjol budaya Melayu, NGO desak tindakan keras
Diterbitkan:  Jul 17, 2024 1:22 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

NGO, Institut Kesedaran Rakyat (IKR) menggesa tindakan tegas terhadap penganjur George Town Festival 2024 (GTF 2024) susulan klip video mempromosi sambutan acara tahunan itu didakwa tidak langsung memaparkan budaya orang Melayu.

Selain, kecewa dengan tindakan yang tidak menjaga sensitiviti masyarakat Melayu di Pulau Pinang itu, Pengerusi IKR, Abdul Rahman Maidin mahu ketua eksekutif GFT 2024 dipecat.

Abdul Rahman Maidin, IKR

"IKR menegaskan supaya sebagai ketua eksekutif GFT 2024 diberhentikan dari jawatannya serta merta.

“IKR juga ingin menegaskan supaya syarikat yang mengeluarkan video tersebut dibatalkan kontraknya untuk GFT 2024," kata Abdul Rahman.

Dia yang juga bekas presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan bekas pengerusi TV3, juga mencadangkan agar orang Melayu wajib dan segera dilibatkan dalam semua penganjuran program.

"Atas dasar itu, IKR hari ini menghantar surat kepada GTF 2024 bagi mencadangkan Profesor Emeritus Dr Mohamed Ghouse Nasuruddin dari Pusat Pengajian Seni Universiti Sains Malaysia (USM) dilibatkan dalam penganjuran festival," katanya.

Menurutnya, selain daripada mempunyai pengetahuan luas dan berpengalaman dalam bidang kesenian masyarakat Melayu dan masyarakat Malaysia secara amnya, Mohamed Ghouse juga adalah ahli Majlis Warisan Kebangsaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sebelum ini, Abdul Rahman mendakwa klip video tersebut membawa tanggapan bahawa Pulau Pinang eksklusif hanya kepada kaum Cina dan India dan tidak langsung memaparkan budaya Melayu.

Susualan itu, GTF 2024 menurunkan video promosi mereka dan memohon maaf.

Katanya, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan timbul salah faham.

Sebelum ini, pihak George Town Festival mengeluarkan sebuah klip video bagi mempromosi sambutan acara itu yang akan berlangsung dari 9 hingga 28 Julai di Pulau Mutiara.

Klip video berdurasi satu minit 47 saat yang dihasilkan oleh Image Farm Productions itu mencuri tumpuan apabila ia dilihat hanya memaparkan unsur budaya Cina dan India, pada masa sama tidak menunjukkan unsur budaya Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS