Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadangan Rafizi mengenai CCUS perlu butiran lanjut - Pakar

Beberapa pakar memberi reaksi positif terhadap industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang dicadangkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun mereka menegaskan lebih banyak butiran perlu diberikan termasuk data mengenai pelepasan karbon, biodiversiti, impak sosioekonomi dan kos.

"Kita memerlukan lebih banyak data saintifik mengenai pelepasan karbon dan butiran lebih lanjut sebelum mereka melancarkan projek ini.

"Ini pasti akan mempengaruhi biodiversiti secara umum, termasuk sosioekonomi manusia," kata presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Ahmad Ismail kepada Malaysiakini.

Penyimpanan karbon merujuk kepada teknologi kompleks untuk memerangkap karbon dioksida yang dihasilkan dalam penjanaan kuasa atau aktiviti industri, mengangkutnya dan kemudian menyimpannya dalam penyimpanan kekal jauh di bawah tanah, termasuk di dasar laut.

Aktivis alam sekitar berkata teknologi mahal ini membawa risiko kebocoran yang boleh merosakkan biodiversiti marin dan alam sekitar yang lebih besar, serta membolehkan syarikat melakukan 'greenwashing' dengan menggunakannya sebagai justifikasi untuk membenarkan operasi berintensif karbon terus berjalan.

Berdasarkan kontrak yang dianugerahkan untuk infrastruktur penangkapan karbon Petronas Kasawari di Sarawak, projek ini dianggarkan bernilai RM4.5 bilion - satu angka yang dikatakan oleh kumpulan alam sekitar boleh digunakan untuk membiayai ratusan megawatt kapasiti panel solar untuk beralih kepada tenaga yang lebih hijau.

Pakar kualiti air, Maketab Mohamad, turut menyuarakan kebimbangan mengenai kos yang tinggi dan ketidakpastian teknologi disebabkan kurangnya perinciannya mengenai hal itu.

Dilaporkan tahun lepas bahawa firma yang berpangkalan di Oslo, Rystad Energy, menganggarkan bahawa Petronas mungkin membelanjakan sebanyak AS$260 juta (RM1.21 bilion) menjelang 2025 untuk memantapkan kedudukan dalam pasaran CCUS.

"Projek CCUS akan baik untuk dunia dan kemanusiaan. Tetapi ia akan menjadi projek yang mahal dan masih banyak yang tidak diketahui dari segi teknologi.

"Rafizi bercakap sebagai seorang ahli politik dan kita perlu menunggu untuk melihat sama ada apa yang diperkatakan akan menjadi kenyataan," tambah Maketab.

Negeri yang sesuai

Rafizi baru-baru ini berkata kerajaan telah mengenal pasti empat negeri sebagai peneraju berpotensi dalam industri CCUS kerana mempunyai telaga minyak yang telah ditamatkan operasinya dan kemudahan terminal sedia ada yang sesuai untuk aktiviti CCUS.

CCUS, salah satu projek perintis dalam Pelan Peralihan Tenaga Nasional, adalah industri berimpak tinggi yang dijangka membawa manfaat ekonomi kepada negeri-negeri yang terlibat.

Menurut Rafizi, kerajaan sedang memuktamadkan rang undang-undang berkaitan CCUS untuk dibentangkan di Parlimen pada bulan November ini, sebelum keputusan penting mengenai industri tersebut dapat dibuat tahun depan.

Sementara itu, katanya, kerajaan persekutuan dan negeri juga akan bertindak sebagai fasilitator antara pengendali industri CCUS seperti Petronas dan pelanggan, termasuk pelabur asing.

Rafizi berkata, kemudahan terminal sedia ada di Kerteh, Terengganu menjadikannya sebagai tapak perintis yang berpotensi.

"Kerteh adalah kompleks untuk industri petrokimia Petronas. Tanah lembap boleh digunakan sebagai model CCUS tetapi kita perlu mempunyai pasukan yang baik yang diketuai oleh orang yang tepat," kata Ahmad.

Maketab dalam pada itu bersetuju bahawa projek tersebut berdaya maju di Terengganu, terutamanya di kawasan industri petrokimia di Paka dan Kerteh.

Turut senada mengenai hal itu ialah Chong Yen Mee, yang berada dalam senarai pakar Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim.

"Kerana semua negeri yang disebutkan telah mula meneroka penggunaan dan pengeluaran hidrogen, saya percaya pembangunan industri CCUS adalah berdaya maju di Malaysia.

"Ini kerana CO2 yang ditangkap oleh CCUS akan digunakan daripada disimpan di bawah tanah.

"Hidrogen yang dihasilkan daripada operasi CCUS boleh digunakan untuk mendekarbonisasi pelbagai proses industri dan bahkan dieksport ke negara lain," katanya.

Dia menambah bahawa Premier Sarawak, Abang Johari Openg telah mengumumkan rancangan Sarawak memulakan eksport hidrogen menjelang 2027, dengan Jepun dan Korea Selatan sudah bersedia sebagai pengimport yang disahkan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS