Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 terbunuh, puluhan cedera dalam protes antikuota di Bangladesh

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam pertempuran antara pelajar yang memprotes sistem kuota dalam pekerjaan sektor awam dan polis di pelbagai bahagian Bangladesh pada Selasa, menurut pegawai yang mengesahkan.

Abu Sayeed, 25, seorang daripada penyelaras dan pelajar di Universiti Begum Rokeya di daerah Rangpur utara, terbunuh semasa pertempuran dengan polis, kata penolong komisioner Uttam Kumar Pal kepada Anadolu.

Ramai lagi yang cedera, kata pegawai itu, sambil menambah 22 anggota polis juga tercedera dan keadaan masih tegang.

Tiga orang, termasuk seorang pelajar Kolej Chattogram dan dua pejalan kaki yang ditembak semasa pertempuran, meninggal dunia akibat kecederaan mereka, kata Pengarah Hospital Kolej Perubatan Chittagong Mohammed Taslim Uddin kepada Anadolu.

Beliau tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai yang terkorban namun menyatakan 18 orang cedera dalam insiden itu dan sedang dirawat di hospital.

Beribu-ribu pelajar telah berdemonstrasi sejak Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018.

Sistem itu memperuntukkan 56 peratus daripada jawatan masuk pekerjaan kerajaan untuk demografi dan kelas tertentu. Daripada kuota 56 peratus semasa, 30 peratus daripada semua pekerjaan dalam sektor awam dikhaskan untuk keluarga mereka yang mengambil bahagian dalam perang pembebasan 1971, menurut laporan itu.

Para pelajar menuntut agar kuota untuk pekerjaan perkhidmatan awam dimansuhkan dan diberikan kepada calon berdasarkan merit.

Protes yang pada mulanya aman bertukar menjadi ganas pada Isnin apabila ahli sayap pelajar parti pemerintah Liga Awami didakwa menyerang penunjuk perasaan, menyebabkan lebih 200 orang cedera.

Pengarah Hospital Kolej Perubatan Dhaka Md. Asaduzzaman berkata 234 pelajar dirawat akibat kecederaan manakala lapan daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Susulan pertempuran ganas sepanjang malam, pelajar menyekat jalan utama dan laluan kereta api di seluruh ibu kota Dhaka yang menyebabkan keadaan lumpuh.

Subinspektor di balai polis Banani Tamikul Islam memberitahu Anadolu bahawa pelajar menyekat jalan dan landasan kereta api di kawasan kejiranan Mohakhali menyebabkan gangguan trafik.

Pelajar di beberapa bandar lain juga mengadakan protes serupa.

Sementara itu, pasukan separa tentera yang bertanggungjawab untuk keselamatan sempadan, iaitu Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) telah dikerahkan di daerah Dhaka, Chittagong, Bogra dan Rajshahi untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman, yang menjadi pusat kepada gerakan reformasi kuota yang sedang berlangsung, kata BGB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS