Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang ahli parlimen kerajaan hari ini mengemukakan dua usul bertulis kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memohon perbahasan segera mengenai perkara berkaitan mendiang Teoh Beng Hock.

Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui berkata usul yang dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2) mewakili perkara kepentingan awam yang mesti disegerakan.

Secara khusus, dia memetik jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri bertarikh 2 Julai yang menyatakan siasatan terhadap kematian Teoh telah dibuka semula tetapi diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana pengurungan yang salah.

"Keluarga mendiang Teoh Beng Hock cuma minta pembunuhnya mesti disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (untuk membunuh)," kata ahli parlimen DAP itu pada sidang media di parlimen.

Chow berkata dia juga dimaklumkan pada 2 Julai polis telah diminta oleh Jabatan Peguam Negara untuk merekodkan lebih banyak kenyataan daripada saksi utama sebelum menyerahkan kertas siasatan mereka untuk tindakan lanjut.

Dalam notisnya kepada speaker, Chow berkata jawapan bertulis 2 Julai adalah sama seperti jawapan sebelum ini bertarikh 20 Mac tahun lepas.

“Dengan kata lain, tiada kemajuan dalam siasatan Teoh Beng Hock sejak pembentukan kerajaan Madani,” kata Chow.

Sementara itu, usul kedua Chow meminta kebenaran speaker untuk membahaskan segera permintaan membenarkan orang awam dan kumpulan masyarakat sivil memasuki parlimen dan menyerahkan sebarang memorandum tuntutan kepada kerajaan.

Ini susulan tindakan polis menyekat perarakan Persatuan Kemajuan Demokrasi Teoh Beng Hock (TBH-ADA) yang mengenang kematian pembantu Adun itu semasa di bawah tahanan SPRM pada 16 Julai 2009.

“Jika parlimen ini hanya membenarkan ahli parlimen, menteri atau VVIP masuk ke Dewan dan tidak membenarkan orang ramai, ini adalah soal ‘keutamaan yang salah’ dan tanda keangkuhan,” kata Chow.

Katanya perkara itu perlu dibahaskan segera bagi mengelak orang ramai hilang keyakinan terhadap parlimen sebagai sebuah institusi demokrasi.

Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi persidangan Dewan Rakyat sekarang, sebelum prosiding ditangguhkan sehingga 14 Okt.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS