Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pernah dibantah Anwar dan Dzul, k'jaan bawa semula RUU penyakit berjangkit
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 5:52 PM
Dikemaskini: 1:46 PM

Rang Undang-undang (RUU) untuk mengawal penularan penyakit berjangkit yang pernah dibantah oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad - ketika mereka menjadi pembangkang - kini dibawa semula, dengan hukuman yang lebih keras berbanding versi awal RUU tersebut.

RUU baru untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) antaranya membawa hukuman lebih keras daripada versi sebelumnya yang dibantah mereka.

Ia menimbulkan kerisauan di kalangan pengamal perubatan dan turut dikritik Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Ia merupakan undang-undang yang digunakan kerajaan untuk mengeluarkan denda dan kompaun bagi pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika penularan wabak itu.

Pentadbiran Ismail Sabri Yaakob cuba meminda RUU itu pada 2021 dan pernah disemak dua kali sebelum ia digugurkan.

RUU 2021 pada asalnya mencadangkan kompaun terhadap di bawah Akta 342 dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 untuk individu dan RM1 juta untuk syarikat.

Ia juga menaikkan hukuman umum daripada penjara maksimum dua hingga lima tahun bagi kesalahan pertama dan seterusnya, kepada penjara maksimum tujuh tahun dan denda RM100,000 kepada individu, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.

Selain itu, ia turut memperkenalkan penalti selepas sabitan, iaitu penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM50,000, atau kedua-duanya sekali.

'Berisiko disalah guna'

Susulan bantahan keras, hukuman yang ditetapkan dikurangkan dengan kompaun untuk individu kekal RM1,000, manakala syarikat boleh dikompaun RM500,000.

Hukuman umum turut dikurangkan kepada dua tahun penjara dan denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali untuk individu, sementara denda untuk penalti selepas sabitan diturunkan kepada RM1,500 untuk individu, namun dinaikkan kepada RM1 juta untuk syarikat.

Walaupun selepas semakan dibuat, perbahasan untuk RUU itu ditangguh sebelum pentadbiran Ismail Sabri menggugurkannya.

Penangguhan itu dibuat selepas kerajaan berunding dengan Anwar, yang ketika itu ketua pembangkang.

Ketika menolak dua versi awal RUU itu, Anwar menyuarakan kebimbangan hukuman yang berat membuka "ruang untuk salah guna kuasa, rasuah dan double standard".

Dr Dzulkefly Ahmad

Begitu juga dengan Dzulkefly yang ketika itu berkata RUU tersebut boleh membawa kepada kegagalan besar, susulan banyaknya masalah dalam pelaksanaan protokol Covid-19 pada masa itu.

"Jika anda terus menyalahkan rakyat, satu hari nanti mereka akan bangkit dan jatuhkan anda, terutama apabila pemimpin sendiri tidak patuh atau menunjukkan contoh pengamalan SOP yang baik," katanya kepada portal kesihatan, CodeBlue.

Persediaan hadapi kemungkinan penularan

Perbandingan antara versi terakhir RUU 2021 dengan RUU semasa yang dibuat CodeBlue menunjukkan RUU semasa berhasrat meningkatkan denda, walaupun tidak setinggi pindaan asal.

Di bawah RUU 2024, kompaun terhadap individu dinaikkan kepada RM5,000, manakala kompaun untuk syarikat dikurangkan kepada RM50,000.

Denda di bawah penalti umum turut dinaikkan kepada maksimum RM10,000 untuk individu dan RM100,000 untuk syarikat.

Denda selepas sabitan juga dinaikkan kepada maksimum RM8,000 untuk individu manakala untuk syarikat dikurangkan kepada maksimum RM50,000. Syarikat juga boleh dikenakan penjara tidak lebih dua tahun.

Dalam hantaran di media sosial selepas pembentangan RUU itu semalam, Dzulkefly berkata pindaan terhadap Akta 342 dibentang memandangkan akta itu tidak dikemas kini sejak ia mula diperkenalkan, dan bertujuan agar negara bersedia berdepan sebarang penularan wabak di masa akan datang.

Namun, MMA berpandang hukuman yang terkandung dalam RUU itu masih dianggap berlebihan.

Dr Azizan Abdul Aziz

"(Ia) boleh memberi kesan terhadap golongan berpendapatan rendah. Kami menggesa pendekatan lebih seimbang yang mengambil kira faktor sosioekonomi," kata Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz dalam kenyataan.

Azizan turut menyuarakan kebimbangan berhubung risiko salah guna memandangkan RUU baru memberi kuasa kepada anggota penguat kuasa untuk mengarahkan mana-mana individu diasingkan atau dipantau.

"Ini membangkitkan kebimbangan serius berkenaan risiko salah guna dan kurangnya kebertanggungjawaban. Perlu ada mekanisme pemantauan dan garis panduan yang jelas," katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya lagi, MMA sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk merangka keadah yang lebih seimbang dan berkesan.

Antara cadangan MMA adalah sokongan dari segi kewangan dan sosial kepada golongan rentan yang terkesan dengan langkah kuarantin atau pengasingan; jaminan agar peraturan dikuat kuasa secara adil; meningkatkan kapasiti sistem kesihatan bagi menangani penyakit berjangkit; dan meningkatkan kesedaran dan pendidikan kesihatan di kalangan masyarakat.

MMA turut mencadangkan libat urus antara kerajaan, pengamal perubatan, pakar kesihatan awam dan wakil masyarakat sebelum pindaan dimuktamadkan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS