Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker DUN Melaka tunggu surat rasmi Adun Rembia
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Ibrahim Durum belum mendapat surat rasmi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis berhubung penyertaannya ke dalam PAS.

Ibrahim berkata beliau akan menunggu surat rasmi berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Saya belum dapat surat rasmi lagi, itu baru kenyataan mulut dia (Muhammad Jailani)…dia kena tulis surat dekat saya,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini mengesahkan Muhammad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam Umno telah diterima menjadi ahli PAS pada 10 Jun 2023.

Takiyuddin mendakwa tindakan Muhammad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas Adun Rembia itu menyertai PAS.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin Umno bertarikh 28 Ogos tahun lalu, Muhammad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

Keahlian Muhammad Jailani dalam Umno digantung selama enam tahun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS