Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramli buat laporan polis lepas dituduh 'makan dedak'
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor membuat laporan polis terhadap seorang lelaki yang didakwanya memfitnah melalui sekurang-kurangnya dua video yang dimuat naik di TikTok minggu lalu.

Bercakap kepada pemberita di parlimen hari ini, Ramli berkata laporan polis itu dibuat di Sentul mengikut Seksyen 504 dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

Kedua-dua peruntukan itu menjenayahkan penghinaan yang disengajakan yang mencetuskan pecah keamanan, serta kenyataan yang membawa kepada kerosakan awam dengan niat untuk menghasut.

Katanya, tuduhan yang dibuat individu terbabit adalah tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan mempunyai unsur-unsur hasutan.

Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands turut mendakwa lelaki terbabit mencemarkan nama baiknya sebagai ahli parlimen tunggal daripada komuniti Orang Asli.

Ramli berkata kenyataan yang menyinggung perasaan termasuk tuduhan bahawa dia “makan dedak” dan “makan tahi” - secara tidak langsung membayangkan bahawa pandangannya mengenai isu-isu yang melibatkan Orang Asli dipengaruhi oleh kedudukan dalam kerajaan.

“...dia (Ramli) takut kehilangan gaji, dia tidak membela Orang Asli, dia mahu memusnahkan Orang Asli.

“Begitukah tindakan seorang YB? Tidak ada guna menyokongnya,” kata Ramli yang memetik kata-kata lelaki terbabit.

Diminta menjelaskan apa yang boleh mendorong tuduhan tersebut, Ramli berkata ia berikutan Kongres Ekonomi Bumiputera pada Mac apabila dia mengulangi cadangan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda sebagai sumber kuasa Akta Orang Asli 1954.

"Apa yang saya difahamkan, ada segelintir individu, segelintir kumpulan yang tidak bersetuju [...] kalau boleh mereka tidak mahu perlembagaan persekutuan dipinda," katanya.

Ramli bagaimanapun enggan mengulas sama ada lelaki dalam video dirujuknya itu juga Orang Asli, bahkan meminta wartawan melihatnya sendiri.

Ramli berkata dia juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana menggunakan rangkaian perkhidmatan secara tidak wajar.

Bergantung kepada hasil siasatan polis, Ramli berkata, dia juga akan mempertimbangkan kemungkinan untuk memfailkan saman fitnah terhadap pemilik akaun TikTok terbabit.

Sebagai timbalan speaker, Ramli tidak menyertai sebarang prosiding perbahasan tetapi pada waktu tertentu meminta kebenaran untuk campur tangan dan membangkitkan isu yang melibatkan Orang Asli.

Tahun lalu Ramli berkata Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan menyenaraikan kebajikan Orang Asli sebagai sebahagian daripada urusan persekutuan, manakala tanah itu di bawah bidang kuasa negeri.

Oleh itu, dia berkata meminda Perlembagaan untuk memasukkan kebajikan Orang Asli ke dalam senarai serentak dengan kuasa negeri persekutuan yang dikongsi akan menjadi penyelesaian kepada isu mereka.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS