Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis mogok lapar demi Palestin difitnah dalam talian
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 2:46 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Kod QR yang dipaparkan di sebelah aktivis mogok lapar M Mythreyar bukan untuk mengutip derma tetapi pautan ke petisyen yang dianjurkan oleh gerakan Boikot dan Sekatan (BDS) Malaysia terhadap Israel.

"Sepanjang aksi mogok lapar, beliau tak minta sesen pun. Daripada jadi penjilat zionis, apa kata beri sokongan kepada kempen-kempen BDS," kata Gegar Amerika, sebuah kumpulan pro-Palestin pada hantaran di X.

Kumpulan itu bertindak balas terhadap kempen fitnah media sosial yang jelas terhadap Mythreyar yang pada hari ke-7 mengambil hanya cecair terhad.

Mythreyar, yang telah berpindah ke pelbagai lokasi di pusat bandar Kuala Lumpur, sedang membantah penjualan Malaysian Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada sebuah konsortium termasuk Global Infrastructure Partners (GIP).

Pada Januari Blackrock telah mengambil alih saham GIP. Blackrock gergasi pelaburan yang termasuk dalam gerakan boikot untuk Palestin kerana mempunyai pelaburan besar dalam firma yang dikaitkan dengan industri senjata Israel.

Selain dakwaan Mythreyar mengumpul dana melalui kod QR, terdapat hantaran lain oleh akaun yang mempunyai pengikut yang ramai, mendakwa dia menggunakan wang itu untuk membayar pembaikan keretanya.

Ini selepas beberapa pengguna media sosial menyiarkan gambar Mythreyar hilang dari tempatnya, dan menuduhnya telah mengakhiri kempen mogok laparnya.

Mogok Mythreyar mendapat sokongan politik, antaranya daripada Ahli Parlimen Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengadakan sidang media di parlimen semalam untuk menyatakan solidariti.

Ditanya mengenai dakwaan orang ramai dalam kumpulan WhatsApp Gegar Malaysia, Mythreyar berkata pertikaian berkenaan adalah antara pemilik kereta dan mekanik. Dia sebelum ini membantu rakannya menghantar kereta tersebut kepada mekanik dan menjelaskan dia tidak memiliki kereta itu atau berhutang wang kepada mekanik.

Dia juga berkata akan meneruskan mogok laparnya sehingga Khamis.

Terdahulu dia diletakkan drip glukosa selepas pemeriksaan oleh pegawai perubatan dan mengambil air sekali setiap empat jam.

Ada serangan dari ahli PKR

Menurut Mythreyar, dia mengenal pasti beberapa hantaran yang memfitnahnya daripada beberapa ahli PKR.

"Tapi, saya boleh sahkan kebanyakan yang serang saya adalah ahli-ahli PKR termasuk seorang penyelaras DUN dari negeri Selangor," katanya.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama penyelaras DUN yang didakwa Mythreyar itu sementara menunggu maklum balas lanjutnya.

"Saya minta kerajaan jangan menunjukkan ego kamu dalam isu MAHB hanya kerana pembangkang tidak menyokong tindakan kamu.

"Trend ini amat mengecewakan. Permintaan saya merentasi sempadan politik. Saya tidak mewakili mana-mana pihak atau," katanya.

Sementara itu, Mythreyar memberitahu bermula pada hari ini dia akan menutup mulut dengan kain.

"Dah masuk hari ketujuh. Saya kena jimatkan kekuatan saya. Saya akan menutup mulut dengan kain sehingga dua atau tiga hari lagi.

"Ini juga satu simbol, kebebasan hak bersuara semakin pudar di Malaysia," katanya.

Jualan MAHB selesai suku ketiga tahun ini

Di sebalik bantahan Mythreyar, Kementerian Kewangan semalam berkata ia menjangkakan untuk menyelesaikan penjualan MAHB pada suku ketiga tahun ini.

Kementerian menambah penjualan itu perlu mendapat kelulusan sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pemegang saham sedia ada MAHB.

Tawaran pengambilalihan MAHB adalah transaksi komersial yang dikemukakan oleh konsortium yang diketuai oleh dua pemegang saham semasa MAHB, iaitu Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sekiranya tawaran itu diterima dan dipersetujui oleh pemegang saham MAHB yang lain, Khazanah akan memiliki 40 peratus saham dalam MAHB dan KWSP akan memperoleh 30 peratus pemilikan, manakala Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) akan memegang 30 peratus lagi saham.

Mogok lapar satu bentuk protes politik yang digunakan di seluruh dunia, sesetengahnya berakhir dengan kematian.

Sesetengah penunjuk perasaan hanya menolak makanan pepejal manakala yang lain mengambil bahagian dalam "mogok lapar kering" dengan mereka juga mengelak daripada mengambil cecair.

Pada 2018, pembuat filem Ukraine Oleh Sentsov, yang ditangkap di Crimea pada 2014, menyempurnakan mogok lapar selama 145 hari - salah satu yang paling lama direkodkan.

Dia menuntut pembebasan semua tahanan politik Ukraine yang ditahan oleh Rusia dan bersetuju untuk mengambil suplemen pemakanan oral dua bulan selepas mogok di bawah ancaman pemberian makan secara paksa.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS