Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC mulakan prosiding ke atas Majlis Profesor Negara Ogos ini
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 2:39 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding terhadap Majlis Profesor Negara (MPN) pada 1 Ogos depan susulan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berhubung penyalah gunaan dana badan berkenaaan.

Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin turut memaklumkan jawatankuasa itu akan meneruskan beberapa prosiding yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini.

"Lanjutan itu, ahli-ahli PAC telah berbincang dan sebulat suara bersetuju untuk memulakan prosiding bagi isu-isu seperti berikut, prosiding Pengurusan Air Negara di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRESS) pada 29 Julai 2024.

"Prosiding Pengurusan Projek Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 30 Julai 2024. Prosiding MARA Incorporated Sdn Bhd di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 31 Julai 2024.

"Dan prosiding Majlis Profesor Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 1 Ogos 2024," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada Julai lalu, Jabatan Ketua Audit Negara mendapati MPN, sebuah majlis profesor universiti-universiti Malaysia yang dibiayai kerajaan telah menyalahgunakan pembiayaan kewangannya.

Ini termasuk membayar elaun besar RM207,000 kepada pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tanpa kelulusan menteri.

Juruaudit juga mendapati RM373,516 dana MPN digunakan untuk membayar operasi dua syarikat milik ahli lembaga pemegang amanah.

Ketua Audit Negara, Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata ahli berkenaan tidak mengisytiharkan kepentingan mereka dalam syarikat tersebut.

Bagaimanapun, MPN menepis dapatan yang diperolehi Jabatan Audit Negara.

Dengan menumpukan tempoh mereka tidak mendapat dana daripada kerajaan, MPN dalam kenyataan ringkas memberitahu, kerajaan pusat membubarkan badan berkenaan secara serta-merta pada 23 Mei 2018.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata PAC juga akan menyambung prosiding terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 7 Ogos selepas prosiding pertama diadakan pada 20 Jun.

"Bagi prosiding yang akan datang, PAC telah memutuskan untuk memanggil saksi seperti berikut, Mohamed Khaled bin Nordin, Menteri Pertahanan, Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raha Mohamed Noor, mantan Pengerusi LTAT, Ahmad Nazim Abd Rahman, mantan Ketua Eksekutif LTAT dan Dayana Rogayah Omar, mantan Pengarah Kanan Strategi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS