Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Rembia masuk PAS
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 1:13 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis, kini sah menjadi ahli PAS.

Perkara itu diumumkan setiausaha agung parti berkenaan, Takiyuddin Hassan, di parlimen hari ini.

Menurut Takiyuddin, penyertaan Jailani ke dalam PAS tidak akan menjejaskan kedudukan Adun terbabit.

Hal itu kerana, kata Takiyuddin, Dewan Undangan Negeri Melaka belum lagi menguatkuasakan undang-undang antilompat parti semasa Jailani menyertai PAS.

Untuk rekod sebelum ini Umno menggantung keahlian Jailani.

Penyertaan tersebut menjadikan PAS kini mempunyai seorang wakil dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dan tiga kerusi untuk pembangkang berbanding dua sebelum ini.

Dua lagi wakil PN dalam DUN Melaka ialah Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) dan Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang).

Semasa mengumumkan penyertaan Jailani, Takiyuddin berkata Adun terbabit mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli PAS pada 10 Jun 2023.

Permohonan itu, katanya, diterima pada hari yang sama.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menambah, DUN Melaka hanya membuat pindaan berhubung undang-undang antilompat parti pada 31 Julai tahun lalu.

"Beliau telah diterima menjadi ahli PAS pada 10 Jun 2023. Pada masa itu di Melaka belum ada undang-undang antilompat parti," katanya pada sidang di media tersebut.

Turut hadir Jailani sendiri serta beberapa pemimpin kanan PAS.

Pada 9 Sept tahun lalu Lembaga Disiplin Umno mengesyorkan supaya Jailani digantung keahliannya selama enam tahun.

Mahu ‘susah senang bersama rakyat’

Ia dibuat selepas badan terbabit memanggil Jailani untuk menghadiri prosiding bagi menjelaskan tindakannya hadir di program kempen PN semasa pilihan raya kecil diadakan di Johor.

Untuk rekod, Jailani asalnya memang ahli Umno sebelum meninggalkan parti berkenaan untuk menyertai PKR dan menjadi salah seorang Adun PH Melaka.

Bagaimanapun dia bersama seorang lagi Adun DAP meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong kerajaan baru pimpinan PN dan BN Melaka pada suku pertama 2020.

Dia kemudian sekali lagi menyertai Umno selepas itu.

Takiyuddin berkata disebabkan Melaka memang belum menguatkuasakan undang-undang berkenaan ketika Jailani diterima menyertai PAS dan ia turut 'diperakui' Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh sebelum ini.

Katanya Ab Rauf sendiri ada mempelawa dua Adun PN Melaka untuk menyertai kerajaan.

"Maknanya pada masa tersebut sesiapa nak lompat parti pun boleh seperti mana seruan Ab Rauf sebelum Julai," katanya lagi.

Sementara itu pada sidang media yang sama Jailani berkata dia memilih untuk menyertai PAS kerana "ingin susah senang bersama rakyat" dan bukannya seperti enam ahli parlimen dan seorang Adun Bersatu yang menyokong kerajaan perpaduan.

Keputusan tersebut dibuat, katanya, selepas melihat kerajaan hari ini gagal menangani isu kebajikan rakyat secara tuntas dan berkesan.

"Yang enam (bekas wakil rakyat Bersatu) sokong kerajaan sebab nak peruntukan, saya bukan sebab peruntukan, tapi saya mahu susah senang bersama rakyat," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS