Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek pembunuhan Nur Farah Kartini anggota polis
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 1:01 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek utama yang ditahan berhubung kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemukan mati di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam, merupakan seorang anggota polis.

Hussein berkata lelaki berusia 26 tahun itu yang juga teman lelaki mangsa, ialah seorang anggota yang bertugas di sebuah balai polis di Perak.

Hussein Omar Khan

"Ya saya sahkan dia seorang anggota polis dan bertugas di Perak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hussein berkata siasatan awal mendapati mangsa dibunuh di lokasi mayat ditemukan dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lepas berdasarkan keadaan mayat yang telah mula mereput.

 Susulan itu, polis telah mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, Selangor, pagi tadi.

Semalam, Hussein memaklumkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang Rabu lepas ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 6 petang.

Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak merupakan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan bekerja dengan sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak, dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan.

Dalam perkembangan lain di Ipoh, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata suspek yang berpangkat Lans Koperal sudah lima tahun berkhidmat dan bertugas di Balai Polis Slim River.

"Pada 11 Julai lepas, Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim menerima laporan mengenai kehilangan mangsa dan polis menjalankan siasatan berasaskan kertas siasatan kes orang hilang dan suspek telah pun menunjukkan tempat di mana berlakunya kejadian yang berlaku di Selangor.

"Sehubungan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan oleh Ibu Pejabat Kontinjen Selangor," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS