PAS mencadangkan nama George Town ditukar kepada nama asalnya Tanjung Penaga.
Gesaan itu dibuat di tengah-tengah kontroversi video promosi Festival George Town 2024, anjuran syarikat kerajaan negeri George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), yang hanya menonjolkan budaya masyarakat Cina dan India.
“Lagi satu, bilakah kerajaan negeri mahu mempertimbangkan semula nama asal Georgetown kepada Tanjung Penaga?
“Gunalah nama yang melambangkan identiti kita, bukan identiti yang diberikan oleh penjajah,” kata Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dalam kenyataan hari ini.
Gesaan sama pernah dibuat sebelum ini tetapi ditolak oleh atas alasan nama George Town telah digunakan lebih 200 tahun.
Exco pelancongan Pulau Pinang ketika itu Yeoh Soon Hin berkata nama itu sudah dikenali orang ramai, malah di peringkat dunia.
Cadangan ketika itu dibuat oleh pakar sejarah Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac) Prof Ahmad Murad Merican.
Turut dicadangkan penukaran nama asal Butterworth kepada Bagan dan Port Dickson di Negeri Sembilan sebagai Tanjung.
Cadangan itu dibuat selepas cadangan penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka dibuat sebelum itu.
Menurut portal kerajaan negeri, sebelum nama Pulau Pinang popular, penduduk Seberang Perai lebih mengenali Pulau Pinang dengan nama Tanjung Penaga, sempena nama pokok yang tumbuh di tapak Fort Cornwallis.
Dipecayai nama ini atau singkatannya Tanjong masih digunakan dalam geran-geran tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan sehingga tahun 1800.
Tanjung Penaga ditukar kepada George Town ketika era penjajahan British di Tanah Melayu, termasuk Pulau Pinang.
Bagaimanapun kini masih terdapat penduduk tempatan yang menggelar George Town sebagai Tanjung.
‘Agenda terancang?’
Sementara itu, PAS negeri juga menyatakan kekesalan yang teramat sangat atas pengeluaran video promosi Festival George Town 2024 selama 10 hari yang akan bermula Jumaat ini.
“Adakah ini satu lagi agenda terancang untuk menggambarkan georgetown hanya sebagai dimiliki oleh kaum tertentu?
“Adakah pihak berkaitan mahu menafikan kewujudan penduduk asal rakyat Pulau Pinang yang menetap di Pulau Pinang sebelum penjajahan Francis Light?” soalnya.
Terdahulu, Malaysiakini pagi ini melaporkan bantahan aktivis tempatan yang menyifatkan video promosi itu tidak menjaga sensitiviti masyarakat Melayu.
Penganjur hari ini memohon maaf dan memadamkan video itu selain menegaskan mereka cuba melibatkan semua pihak dan masyarakat berbilang bangsa.