Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Seorang wanita memfailkan saman terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagi menuntut permohonan maaf secara terbuka berhubung dakwaan bahawa wanita berkenaan ialah isteri kepada bekas menteri yang dikaitkan dengan isu kapal tempur pesisir (LCS).

Bagaimanapun, Rafizi bergantung kepada pembelaan justifikasi (bersedia membuktikan kenyataan di mahkamah), perlindungan bersyarat dan ulasan yang saksama terhadap saman fitnah yang difailkan oleh Zainab Mohd Salleh.

Saman sivil itu dikemukakan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini. Perbicaraan penuh ditetapkan dari 30 Mac hingga 1 April 2026.

Zainab menyaman Rafizi atas dakwaan bahawa dia ialah isteri kepada Abdul Latiff Ahmad, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjadi sasaran Rafizi dalam beberapa siri catatan dalam talian mengenai isu LCS pada 2022.

Plaintif menolak dakwaan itu sebagai tidak benar, memohon perintah mahkamah untuk memaksa Rafizi membuat permohonan maaf secara terbuka di beberapa akhbar dan platform media sosial.

Dia juga memohon beberapa relif lain, antaranya injunksi bagi menghalang Rafizi daripada terus mengeluarkan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah; dan ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Pada Ogos 2022, Rafizi mendakwa Latiff terlibat dalam skandal LCS melalui dua syarikat luar pesisir yang didakwa dikawal oleh Zainab.

Rafizi mendakwa maklumat mengenai status luar pesisir syarikat dan tentang Zainab pertama kali dibocorkan oleh pemberi maklumat yang terlibat dalam projek Panama Papers dan Paradise Papers.

Dia juga mendakwa bahawa hubungan yang dikatakan antara Latiff dan Zainab telah direkodkan dalam kertas siasatan dalaman mengenai skandal LCS.

Bagaimanapun, Latiff dalam maklum balas segera menafikan Zainab ialah isterinya.

Menerusi surat tuntutannya kepada Rafizi bertarikh 23 Mac tahun lalu, Zainab menafikan dirinya merupakan isteri Latiff dan menuntut permohonan maaf dalam tempoh 14 hari daripada ahli parlimen itu.

Dia mendakwa Ahli Parlimen Pandan itu menerbitkan 13 kenyataan berunsur fitnah dalam talian antara 22 Ogos dan 1 Nov 2022.

Dia mendakwa Rafizi membuat kenyataan bermotif politik kerana pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan tidak pernah cuba menghubunginya sebelum membuat dakwaan itu.

Bagaimanapun, sebagai respons kepada surat tuntutan itu, Rafizi menolak tuntutan Zainab untuk permohonan maaf, dengan mendakwa dia tidak menyasarkan wanita berkenaan tetapi isu utama mengenai cara kontrak LCS yang dikatakan tidak wajar diberikan oleh kerajaan terdahulu.

Zainab kemudian memfailkan saman pada Disember tahun lalu.

Zainab diwakili oleh firma guaman Yusfarizal, Aziz & Zaid. Manakalan Rafizi diwakili firma guaman Gan, Ho & Razlan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS