Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teresa ganti MP Kluang jadi timbalan pengerusi PAC
Diterbitkan:  Jul 16, 2024 10:24 AM
Dikemaskini: 4:01 AM

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akan menggantikan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi sebagai timbalan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri akan membentangkan usul untuk Kok menggantikan Wong, sebelum usul berkenaan diundi ahli parlimen.

Kok yang merupakan ahli parlimen selama enam penggal, akan menggantikan Wong sebagai timbalan kepada pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin.

Penggantian itu juga susulan pelantikan Wong bulan lepas sebagai pengerusi Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp), sebuah agensi di bawah kementerian sumber manusia.

Sejak 2018, PAC yang merupakan jawatankuasa pilihan di Dewan Rakyat membuat keputusan secara konsensus.

PAC ialah jawatankuasa dwi-partisan dan terdiri daripada tiga ahli parlimen masing-masing daripada DAP, Bersatu, Umno dan PKR, dua daripada PAS dan seorang daripada GPS.

Wong dan Kok daripada DAP, manakala dua lagi wakil rakyat daripada parti itu ialah Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong dan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS