Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
300 atlet Palestin terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Seramai 300 atlet Palestin terbunuh sejak bermulanya serangan genosid rejim Israel ke atas Gaza, menurut Setiausaha Agung Persatuan Media Sukan Palestin Musfata Siam.

Jenayah ini dilakukan selari dengan penyasaran langsung terhadap atlet Palestin oleh rejim Israel, sama ada dengan membunuh atau menangkap mereka atau memusnahkan infrastruktur sukan, kata Siam seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Republik Islam (Irna) yang memetik Aljazeera.

Dia menambah lebih daripada 90 peratus kemudahan sukan di bahagian selatan Gaza telah dimusnahkan sejak bermulanya serangan kejam itu.

Persatuan Bola Sepak Palestin telah meminta persekutuan antarabangsa dan benua untuk mengambil tindakan berhubung jenayah rejim Zionis terhadap sukan Palestin dan menekankan keperluan untuk mengambil langkah untuk menghukumnya, kata Siam.

Setakat ini, serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza telah meragut lebih daripada 38,584 nyawa, termasuk lebih daripada 15,000 kanak-kanak, di wilayah yang dikepung itu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS