Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramkarpal bimbang spekulasi AG akan dilantik Hakim Besar Malaya
Diterbitkan:  Jul 14, 2024 7:55 PM
Dikemaskini: 11:55 AM

Bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi, Ramkarpal Singh menyatakan kebimbangan terhadap spekulasi Peguam Negara (AG) Ahmad Terrirudin Salleh direncana untuk dilantik menjadi Hakim Besar Malaya pada masa akan datang.

Ramkarpal berkata isu itu tidak ada kaitan dengan prestasi atau kecekapan Terrirudin sebagai peguam negara, tetapi lebih kepada mengapa wujud keperluan untuk menyimpang daripada amalan badan kehakiman yang mempromosikan dari dalam badan kehakiman sendiri.

“Kerajaan Madani harus mengelak daripada meninggalkan amalan melantik hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat sebagai Hakim Besar Malaya kerana tidak ada sebab, dalam keadaan itu, untuk mengambil seseorang yang belum berkhidmat sebagai hakim untuk peranan itu.

"Melantik orang luar ke salah satu jawatan kehakiman paling kanan negara sudah tentu satu langkah ke belakang dan akan mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembaharuan kehakiman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FMT memetik sumber melaporkan minggu lalu bahawa nama Terrirudin telah dikemukakan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk dipertimbangkan oleh Majlis Raja-raja.

Ahmad Terrirudin Salleh

Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa warganegara yang telah menjadi pengamal undang-undang selama 10 tahun sama ada sebagai peguam atau anggota perkhidmatan kehakiman atau perundangan layak dilantik sebagai hakim di mana-mana peringkat.

Jawatan Hakim Besar Malaya kosong berikutan persaraan mandatori Zabidin Diah.

Ramkarpal berkata kerajaan tidak menafikan laporan FMT mengenai rencana pelantikan Terrirudin, yang menguatkan lagi lagi spekulasi mengenai perkara itu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata walaupun terdapat duluan (precedent) orang luar dilantik ke Mahkamah Persekutuan, tetapi duluan sedemikian tidak harus diikuti jika kerajaan komited terhadap pembaharuan institusi.

"Sehubungan dengan itu, duluan seperti itu harus ditinggalkan kerana ia menimbulkan persepsi campur tangan kerajaan dalam pelantikan hakim kanan memandangkan pelantikan tersebut akhirnya dibuat atas nasihat perdana menteri di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu ditegaskan bahawa terdapat calon yang layak daripada barisan hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat untuk mengisi jawatan Hakim Besar Malaya dan difahamkan syor telah dibuat oleh Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC), iaitu dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, daripada barisan itu," katanya.

Sebelum ini, pada Nov 2022, Majlis Raja-Raja berpendapat JAC harus bebas daripada pengaruh perdana menteri.

JAC bertanggungjawab melantik hakim dalam badan kehakiman. Di bawah tetapan semasa, lima daripada ahli jawatankuasa dilantik oleh perdana menteri, manakala baki empat slot diisi oleh hakim yang sedang berkhidmat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS