Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak perlu takut hubungan Umno-DAP, kata Johari Ghani
Diterbitkan:  Jul 14, 2024 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani menggesa ahli partinya supaya tidak takut dengan hubungan parti itu dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.

New Straits Times memetik Johari sebagai menggesa ahli Umno menerima realiti bahawa parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan yang terdiri daripada bekas seteru.

“Kita semua terlalu didorong sentimen, terlalu emosi. Mengapa kita perlu takut dengan Umno-DAP?

"Kita sudah kalah (dalam pilihan raya umum lalu). Kita hanya tinggal 26 kerusi di Parlimen, jadi kita mesti bertindak seperti orang yang kalah," kata Johari (atas, kanan) ketika melancarkan mesyuarat Umno bahagian Masjid Tanah hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka yang juga Ketua Perhubungan Umno negeri Ab Rauf Yusoh (gambar atas, kiri).

Selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022, seteru lama Pakatan Harapan dan BN bergabung untuk membentuk kerajaan kerana tiada gabungan yang memenangi majoriti jelas.

Tidak lama kemudian, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyertai pakatan itu untuk mengukuhkan majoriti kerajaan perpaduan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim kemudia dilantik sebagai perdana menteri, dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Fadillah Yusof menjadi timbalannya.

Johari memberitahu perwakilan Umno bahawa walaupun DAP mungkin tidak pandai berpolitik, pemimpinnya mempunyai pemikiran yang berfikiran ke hadapan.

Dia juga menyatakan bahawa DAP konsisten dalam membentuk pemimpin muda dan kuat.

“Apabila calon muda ini bertanding (dalam pilihan raya), mereka yang membantu mereka adalah pemimpin kanan yang bekerja untuk memastikan kemenangan mereka.

"Ini tidak terhad kepada orang Cina. DAP juga memilih pemimpin muda Melayunya untuk bertanding dalam pilihan raya," tambah menteri perladangan dan komoditi itu.

Johari kemudian membandingkan dengan partinya sendiri dengan berkata pemimpin Umno dilihat sering bertelagah sesama sendiri.

“Calon PAS, yang mungkin tidak mempunyai banyak pengalaman, juga mampu meraih undi pengundi kerana kedinamikan mereka dalam politik dalam parti.

"Ini tidak boleh kita nafikan. PAS tidak pernah terang-terangan bergaduh sesama sendiri. Pemimpin Umno memang juara apabila berlawan sesama sendiri, tetapi dalam pilihan raya, kita kalah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS