mk-logo
Berita
Ikan yu dalam senarai merah IUCN diancam kepupusan
Diterbitkan:  Jul 14, 2024 3:41 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Pendidikan dan kesedaran terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan ikan yu memerlukan pengetahuan, kefahaman, perubahan sikap dan penglibatan masyarakat, demikian menurut Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi pendidikan dan program kesedaran awam di setiap peringkat umur, dapat memberikan pemahaman mengenai peranan ikan yu dalam menstabilkan ekosistem marin, sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan haiwan itu.

“DOF melalui Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) di Terengganu menjalankan penyelidikan saintifik dan pengumpulan maklumat berkenaan ikan yu dan pari di Malaysia. Maklumat-maklumat ini amat penting dalam membantu pihak pengurusan merancang dan melaksanakan pelan tindakan pemeliharaan dan pengurusan ikan yu di Malaysia.

“Masyarakat setempat juga dapat membantu melindungi ikan yu dengan mengambil tindakan lebih berhati-hati dan tidak mencederakan atau mengganggu yu yang ditemui ketika menjalankan aktiviti di laut. Orang awam boleh membantu usaha konservasi dengan tidak memilih makanan yang berasaskan sirip yu di restoran,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sempena Hari Kesedaran Yu hari ini.

DOF memaklumkan berdasarkan Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), dianggarkan lebih satu pertiga daripada yu kini diancam kepupusan.

Menurut jabatan itu populasi yu di Malaysia berdepan ancaman utama iaitu penangkapan ikan secara tidak sengaja oleh nelayan.

“Aktiviti perikanan yang tidak terkawal mempunyai kesan yang besar terhadap yu dan ancaman ini telah ditambah lagi dengan kehilangan habitat dan perubahan iklim menjadikan yu satu daripada spesies terancam dalam ekosistem marin.

“Walaupun tidak disasarkan secara khusus oleh nelayan, ikan yu secara tidak sengaja ditangkap bersama spesies komersial yang lain,” katanya.

Selain itu, ikan yu juga diburu bagi mendapatkan sirip dan bahagian-bahagian lain yang mempunyai nilai tinggi di pasaran selain sebagai makanan tradisional dan digunakan dalam pelbagai makanan yang diproses.

DOF berkata penangkapan ikan secara berlebihan dan penggunaan peralatan menangkap yang tidak mengikut piawaian juga mendorong kepada berkurangnya populasi ikan yu serta memusnahkan habitatnya.

“Pertumbuhannya yang perlahan, pembiakan yang lambat berbanding dengan ikan lain dan pengeluaran anak yang terhad juga akan memberi kesan kepada ekosistem marin. Perubahan suhu air lautan turut mendorong kepada berkurangnya populasi ikan yu di sesuatu kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, bagi melindungi ikan yu, DOF mengambil inisiatif mengadakan latihan pengecaman spesies tersebut kepada agensi penguatkuasaan dan nelayan selain pengedaran poster kesedaran kepada orang awam.

DOF memaklumkan pihaknya turut menjalankan kajian dengan pertubuhan bukan kerajaan dan universiti tempatan berhubung populasi dan kawasan perlindungan ikan yu.

Pada masa sama jabatan itu juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain di Malaysia untuk membanteras kegiatan pemburuan perdagangan haram bagi ikan yu yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Menurut DOF, Pelan Tindakan Kebangsaan Pengurusan dan Pemuliharaan Yu (Pelan 3) yang bakal diterbitkan merupakan bukti komitmen jabatan itu dalam pengurusan spesies akuatik terancam di Malaysia di bawah peraturan dan dasar berkaitan.

Sebarang kes penangkapan atau kedamparan spesies ikan yu, orang ramai boleh menghubungi talian Fishcom DOF 03-88704058.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS