Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
56 warga asing ditahan di rumah urut sekitar Bukit Bintang
Diterbitkan:  Jul 14, 2024 3:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Sebanyak 56 warga asing ditahan dalam satu operasi di lima premis rumah urut sekitar Bukit Bintang di Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan antaranya disyaki tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa, pada Rabu lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata turut ditahan dua individu tempatan yang dipercayai penjaga premis.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun terdiri daripada warganegera Bangladesh, Myanmar, Thailand dan Sudan.

“Sebanyak 91 individu terdiri daripada 20 lelaki dan 41 wanita warganegara asing serta 30 warga tempatan telah diperiksa dalam operasi ini. Hasilnya, 56 individu ditahan.

“Lokasi serbuan merupakan premis kedai dua tingkat dan berada di tengah pusat bandar ini adalah agak mencabar kerana laluan masuk ke kawasan premis sesak dengan kehadiran pelancong serta kenderaan sekali gus menyukarkan pergerakan pasukan operasi masuk ke sasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin berkata tindakan penguatkuasaan diambil susulan aduan awam berkaitan warganegara asing yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral dengan berselindung di sebalik perkhidmatan rumah urut di kawasan tumpuan pelancong tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, di sini bagi tindakan lanjut,” katanya.

Menurut Ruslin pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS