mk-logo
Berita
Zaid gesa Umno desak ganti speaker parlimen
Diterbitkan:  Jul 14, 2024 2:14 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa Umno mendesak rakannya dalam kerajaan membenarkan parlimen menggantikan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Zaid berkata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani telah bercakap mengenai keputusan speaker yang mengekalkan kerusi enam bekas ahli parlimen Bersatu.

“Kedua-duanya kritikal tetapi sopan. Kedua-duanya menyampaikan komen masing-masing dengan cara yang berbeza.

“Untuk tidak menyusahkan orang kuat PKR itu, Mohamad mencadangkan pilihan raya semula yang mahal apabila ahli parlimen menukar kesetiaan bertentangan dengan arahan parti. Ia alternatif yang baik, tetapi kita tidak mampu.

“Johari Abdul Ghani menggesa agar undang-undang itu dipinda seolah-olah ada kelemahan di suatu tempat yang mewajarkan ketidaktetapan speaker.

"Dia berasa wajar merasakan keadaan sekarang tidak sesuai untuk keyakinan pelabur," kata ahli politik veteran itu.

Penawar mudah

Zaid menegaskan tiada undang-undang atau peraturan boleh menggantikan kelakuan beretika dan fungsi institusi kerajaan, termasuk parlimen yang hanya boleh berlaku apabila para pegawai jujur ​​dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Memang bagus kedua-dua pemimpin Umno ini bercakap, tetapi cara penyelesaiannya agak mudah: pilih orang lain yang adil sebagai speaker.

"Sekiranya Umno berpendirian kuat mengenai isu itu, kepimpinan Madani tidak mempunyai pilihan selain membenarkan parlimen memilih speaker lain," katanya.

Semalam, Mohamad berkata akta antilompat parti perlu dikaji semula bagi mengatasi kelemahan sedia ada dan menghalang ahli parlimen atau Adun daripada berpaling tadah.

Katanya, ini bagi memastikan negara tidak kucar-kacir dengan tindakan ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi berbanding memperkasa kerajaan setelah dipilih rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Johari Abdul Ghani yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata tindakan mana-mana wakil rakyat yang bertukar parti selepas memenangi pilihan raya wajar dinoktahkan.

"Saya berpandangan apabila kita dipilih (sebagai Ahli Parlimen) oleh sesuatu parti, apabila kita bertanding, maka kalau kita melompat, ia adalah perbuatan yang tidak boleh kita galakkan, terutama dalam usaha membangunkan negara pada masa akan datang.

"Ini (melompat parti) boleh menakutkan pelabur," katanya semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi menutup kelemahan yang wujud dalam akta antilompat parti.

Anwar yang juga pengerusi PH berkata pada 2022 pihaknya pernah mengusulkan supaya pindaan terhadap akta tersebut dibuat namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS