Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mempunyai pengurusan yang cekap bagi menumpukan kepada aspek kebajikan peneroka serta mengangkat martabat koperasi itu.
Beliau berkata koperasi ialah satu badan yang sangat penting kepada negara, tetapi kelemahannya kadangkala berpunca daripada pemilihan pihak pengurusan yang tidak berkemahiran.
“Saya nak nasihatkan Lembaga (KPF), pengurusan harus yang paling cekap untuk bantu mengangkat Koperasi Felda.
"Ini tanggungjawab kita, tak mahu tolak ansur.
"Dana peringkat awal Koperasi Felda berapa? RM2.5 bilion, kita akan pastikan diurus dengan cekap dan dipantau oleh Lembaga tanpa campur tangan soal pengurusan dana," katanya dalam ucapan bersempena dengan Hari Peneroka Felda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan warga peneroka Felda.
Anwar berkata amalan tadbir urus yang cekap dan baik sangat ditekankan oleh kerajaan masa kini, termasuk dalam soal perolehan tender supaya tiada penyelewengan atau salah guna kuasa berlaku.
Selain itu, beliau berkata kerajaan akan memastikan sistem perubahan dan penghijrahan dengan cara, pemikiran serta amalan yang betul, bukan hanya pada slogan tetapi juga tindakan.
Minta SPRM serbu habis-habisan
"Kalau dulu, tender masing-masing nak kira menantu, nak kira isteri, nak kira kroni, tapi kalau sekarang semua tender kerajaan dan saya percaya Felda, FGV dan koperasi juga seharusnya biar betul, telus supaya jangan ada usaha menyakau wang rakyat dan wang peneroka.
“Siapa kata negara tiada wang? Ada … tetapi jangan hilang terlalu banyak, bayar hutang terlalu banyak, beban terlalu tinggi, kemudian kontrak kalau RM1 bilion, hilang RM100 juta.
“Sebab itu saya minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) serbu habis-habisan, kadang-kadang badan-badan amanah kerajaan, badan-badan yang patut jaga bumiputera pun amalan menyakau masih diteruskan," kata Anwar.
- Bernama