Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan 8 warga asing bantu siasatan kes kematian di Puchong
Diterbitkan:  Jul 14, 2024 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Polis menahan lapan lelaki warga asing berumur antara 30 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes kematian melibatkan seorang pekerja kilang warga asing berusia 30 tahun di Pulau Meranti, Puchong, Selangor pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kesemua individu itu ditahan di kediaman mereka di Pulau Meranti dan Kampung Baru, Sungai Buluh, Selangor, pada kira-kira 11 malam, hari yang sama.

Beliau berkata pihaknya turut menemukan sebatang kayu dipercayai digunakan untuk memukul mangsa di dalam kawasan pagar kilang berhadapan kabin tempat tinggal mangsa.

“Pada Jumaat, lebih kurang pukul 9.40 pagi, pihak polis (daerah Sepang) telah menerima satu laporan daripada pegawai perubatan Hospital Cyberjaya yang memaklumkan bahawa seorang lelaki bukan warganegara telah dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pendarahan pada bahagian kepala dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata susulan tangkapan, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Beliau berkata kes masih dalam siasatan dan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang tidak tepat sehingga mengganggu proses siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS