Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isham cabar Mat Hasan bertanding presiden lawan Zahid
Diterbitkan:  Jul 13, 2024 10:54 PM
Dikemaskini: 4:40 PM

Bekas ahli majlis kerja tertinggi Umno, Isham Jalil mencabar timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan supaya bertanding jawatan presiden parti.

Isham mendakwa ramai ahli Umno akan menyokong langkah tersebut memandangkan mereka kini tidak mahu bersama presiden sekarang, Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya nak cakap kepada Tok Mat Hasan, apa pula nak lawan timbalan presiden, lawan teruslah Zahid Hamidi, lawan presiden, Tok Mat.

"Banyak akar umbi Umno yang original akan sokong, mereka tak nak dengan Zahid Hamidi," katanya.

Isham juga menggesa Mohamad membawa Umno keluar daripada kerajaan perpaduan dan menyertai bekas ahli Umno yang telah keluar parti.

Katanya, Umno tidak sepatutnya menunggu terlalu lama untuk membuat keputusan kerana undi Melayu akan berpecah jika mereka memilih untuk bertanding menentang PH dan PN pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).

"Tok Mat, kalau awak nak follow, buat keputusan sekarang, keluar daripada kerajaan perpaduan, join kita sekarang," katanya.

Terdahulu, Mohamad dilapor berkata tiada jaminan Umno akan bersama dengan gabungan parti lain pada PRU16.

"Kita hanya terikat dengan perjanjian untuk menubuhkan kerajaan bagi menguruskan negara.

"Ketika ini, kita perlukan kerajaan yang kuat dan mantap," katanya lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun kenyataan itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Zahid pada 30 Jun lalu yang mengatakan kerajasama BN dan PH akan diteruskan pada PRU16.

Dakwa akan ubah sempadan pilihan raya

Sementara itu Isham turut mendakwa kerajaan perpaduan akan mengubah sempadan pilihan raya sebelum PRU16 di kubu kuat DAP supaya Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan dapat mengekalkan kuasanya.

"Untuk Anwar mengekalkan kuasa dia akan pecahkan kawasan. Kawasan-kawasan siapa dia pecah? Kawasan DAP, dia akan pecah kawasan DAP dan kawasan-kawasan DAP di Selangor. Damansara (misalnya) dari satu parlimen jadi tiga parlimen. Mungkin," katanya.

Bekas ketua penerangan Umno itu berkata demikian pada siri jelajah Gelombang Selamatkan Malaysia di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad di Gombak, Selangor.

Kira-kira 200 hadir pada siri jelalah tersebut.

Sementara itu Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden, mendakwa seorang ahli parlimen kerajaan tidak bersetuju dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul mengekalkan kerusi enam ahli parlimen dari Bersatu.

Afnan tidak menamakan ahli parlimen itu tetapi membayangkan dia berketurunan Cina.

"Dia kata, bila saya tengok keputusan speaker itu, kenyataan media dia kata, aduhhh aiya...macam mana mau pertahan ini speaker susah woo,” kata Ahli Parlimen Alor Setar itu.

Bersatu sebelum ini menyerahkan notis kepada Johari memaklumkan tentang kekosongan di enam kerusi parlimen selepas parti itu menamatkan keahlian wakil rakyat mereka.

Tindakan itu diambil Bersatu selepas enam ahli parlimen berkenaan menyatakan sokongan kepada Anwar.

Mereka ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Zulkafperi Hanapi ( Tanjong Karang).

Walaupun begitu, Johari mengisytiharkan enam ahli parlimen itu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Dalam surat yang dilihat Malaysiakini, Johari berkata peraturan yang digunakan Bersatu untuk melucutkan keahlian ahli parlimen telah melanggar hak perlembagaan mereka dan peraturan parlimen yang menjamin kebebasan ahli parlimen untuk bersuara, berdebat dan mengundi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS