Paling Popular
Terkini

Tidak sampai 24 jam selepas ditahan, aktivis Perikatan Nasional (PN) Wan Muhammad Azri Wan Deris dilepaskan semula 12 tengah hari tadi.

Dia sebelum ini ditahan polis dari Bukit Aman selepas menghadiri perbicaraan kes hasutan di mahkamah semalam.

Muhammad Azri yang lebih dikenali sebagai Papagomo dibebaskan selepas permohonan reman terhadapnya ditolak oleh Mahkamah Reman IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan anak guamnya dilepaskan.

"Permohonan reman selama empat hari diadakan lebih kurang 10.30 pagi.

"Pegawai penyiasat memaklumkan siasatan terhadap Papagomo adalah dibawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Laporan polis terhadap Papagomo adalah mengenai video Tik Tok menyentuh Yang Di-Pertuan Agong.

"Pihak pembelaan membantah permohonan. Setelah mendengar kedua-dua pihak, majistret menolak permohonan reman kerana tiada alasan kukuh untuk memberi reman," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Papagomo ditahan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta selepas hadir perbicaraan hari kedua susulan pertuduhan menghasut, termasuk dengan menuduh kerajaan sebagai pro-Israel dan pro-Barat.

Papagomo turut berdepan pertuduhan menghasut lain dalam isu jualan stoking bertulis kalimah Allah oleh kedai runcit KK Mart.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS