Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Speaker tak patut ada kuasa atas undang-undang antilompat parti'
Diterbitkan:  Jul 12, 2024 10:12 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk mencegah lompat parti perlu diperhalusi supaya ia tidak tertakluk kepada tafsiran speaker Dewan Rakyat, kata Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee.

Kiandee berkata bahawa ini akan memastikan speaker tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir perlembagaan, yang seterusnya akan menjadikan undang-undang antilompat parti tidak berkesan dan dilihat sebagai alat untuk kerajaan yang berkuasa.

Dia dilaporkan berkata demikian kepada New Straits Times hari ini ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan terbuka untuk membincangkan langkah bagi menambah baik undang-undang antilompat parti.

“Kalau dia (Anwar) nak buat (pindaan), teruskan kerana ini sudah beberapa kali dicadangkan di parlimen.

“Saya sendiri sudah banyak kali mencadangkan tetapi cadangan itu tidak memberi kesan kepada kerajaan kerana undang-undang itu dilihat memberi kelebihan kepada mereka.

“Sekiranya undang-undang itu tidak ditambah baik, ia perlu dimansuhkan kerana ia tidak memenuhi tujuan penggubalannya pada asalnya," katanya seperti dilapor.

Bersatu sebelum ini menyerahkan notis kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan tentang kekosongan di enam kerusi parlimen selepas parti itu menamatkan keahlian wakil rakyat mereka.

Tindakan itu diambil Bersatu selepas enam ahli parlimen berkenaan menyatakan sokongan kepada Anwar.

Mereka ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Zulkafperi Hanapi ( Tanjong Karang).

Walaupun begitu, Johari mengisytiharkan enam ahli parlimen itu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Dalam surat yang dilihat Malaysiakini, Johari berhujah bahawa peraturan yang digunakan Bersatu untuk melucutkan keahlian ahli parlimen telah melanggar hak perlembagaan mereka dan peraturan parlimen yang menjamin kebebasan ahli parlimen untuk bersuara, berdebat dan mengundi.

Anwar telah menyalahkan kelemahan undang-undang itu yang membolehkan pembangkang berpaling tadah, dengan berkata ketika peraturan antilompat parti dimasukkan ke dalam perlembagaan pada 2022, Bersatu menolak klausa di mana Ahli Parlimen yang dipecat daripada parti mereka akan kehilangan kerusi.

Satu lagi isu perbalahan ialah Perkara 49A(3) perlembagaan, yang menyatakan bahawa apabila menerima notis bertulis mengenai kekosongan jawatan di Dewan Rakyat, speaker “hendaklah menetapkan bahawa terdapat kekosongan biasa dan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya dengan sewajarnya dalam tempoh 21 hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu”.

Timbul pertikaian sama ada peruntukan itu bermakna peranan parti politik adalah untuk sekadar memaklumkan kepada speaker peletakan jawatan atau pemecatan dari parti, untuk speaker memutuskan sama ada terdapat kekosongan; atau speaker tidak mempunyai kuasa mengenai perkara itu dan hanya perlu melaksanakan kehendak parti itu dengan memaklumkan SPR tentang kekosongan kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS