Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM dijangka bentang Belanjawan 2025 pada 18 Oktober

Perdana Menteri Anwar Ibrahim  dijangka membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.

Bercakap menerusi sidang akhbar mingguan di Putrajaya, hari ini, Fahmi berkata perdana menteri telah mengarahkan semua menteri untuk mengadakan sesi dialog dengan pihak berkepentingan berkaitan sebelum perancangan belanjawan.

Perkara itu, jelas Fahmi, disampaikan perdana menteri semasa mesyuarat kabinet awal hari ini.

Fahmi Fadzil

“Ia untuk mendapatkan maklum balas daripada industri, pemegang taruh mengenai sama ada dasar, insentif, program, pelaksanaan, kekangan serta cabaran akan dibawa semula untuk penelitian di peringkat Kementerian Kewangan supaya dapat disesuaikan dengan Budget 2025.

“Insya-Allah sidang Parlimen pada bulan Oktober akan bermula pada 14 Oktober dan Belanjawan 2025 akan dibentangkan pada 18 Oktober.

“Ini tarikh yang ada pada waktu ini, sekiranya ada apa-apa perubahan kita akan maklumkan,” katanya.

Fahmi, yang juga menteri komunikasi, berkata, bahawa Belanjawan 2025 akan menjadi yang ketiga bagi Anwar sejak dia menjadi perdana menteri pada 2022.

Selasa lalu, media melaporkan Belanjawan Madani 2025, akan dibentangkan pada Oktober ini. Ia akan berpandukan kepada beberapa asas tertentu, termasuk pendekatan memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih pesat, bagi membolehkan usaha meningkatkan penyediaan kemudahan kepada rakyat.

Anwar berkata, bertemakan ‘Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, perencanaan belanjawan tersebut tidak akan lari daripada hala tuju ekonomi negara seperti yang diumum sebelum ini. Ia termasuk Pelan Perindustrian Baharu Negara (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS