Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tumpaskan sindiket penipuan pelaburan ayam kampung

Susulan pendedahan Malaysiakini berhubung penipuan pelaburan projek ternakan ayam kampung menggunakan nama sebuah pertubuhan pada awal Jun lalu, sindiket itu akhirnya tumpas di tangan pihak berkuasa.

Seramai 11 individu disyaki ahli Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak (PAKKP) dilaporkan ditahan berkait kes penipuan pelaburan ayam kampung yang beroperasi sejak awal tahun lalu, membabitkan kerugian lebih RM3 juta.

Malaysiakini pada 7 Jun lalu melaporkan mangsa terjerat dengan projek yang dijenamakan sebagai ‘infak’ mengalami kerugian mencecah RM300,000.

Modus operandi sindiket itu adalah dengan menawarkan pelaburan berkaitan perniagaan ayam kampung dengan nilai pelaburan RM250 dan dijanjikan pulangan RM13 sebulan sepanjang hayat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata sebanyak 85 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan pelaburan ini dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM3,297,254.79.

Menurutnya, mangsa diarah memasukkan wang pelaburan ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama Pelaburan Ayam Kampung PAKKP.

"Satu operasi bersepadu membabitkan kolaborasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dilancarkan dengan kerjasama serta sokongan beberapa agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Pasukan Siasatan Pengubahan Wang Haram (AMLA) PDRM.

"Melalui operasi dilaksanakan pada 26 Jun lalu, sejumlah serbuan dilakukan di sekitar Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu dan Labuan bagi menahan semua ahli sindiket penipuan pelaburan ini.

"Mereka yang ditahan ialah lapan lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia antara 38 hingga 56 tahun berperanan selaku pengasas, pengarah, setiausaha, kerani, ejen serta sukarelawan pertubuhan terbabit," katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini difahamkan projek ternakan ayam kampung berkenaan juga tidak wujud melainkan pihak berkenaan hanya "pusing" modal yang 'diinfakkan' peserta.

Seorang mangsa, pesara swasta yang mahu dikenali sebagai Jamil mendedahkan dia "melabur" sebanyak RM350,000 duit KWSP bagi tujuan persaraan untuk tujuan itu.

"Yalah siapa yang tidak teruja, apatah lagi diuruskan oleh orang Melayu sendiri. Bahkan saya lihat dia semakin senang dan beranggapan projek ini berjaya.

"Oleh itu saya ambil keputusan untuk melabur ataupun menyertai projek ini. Macam kawan-kawan yang lain selepas dua bulan kami tak dapat apa-apa manfaat lagi.

"Bila ditanya mereka kata tukar dalam bentuk mata ganjaran dan boleh ditebus di kedai mereka.

"Masalahnya mata ganjaran itu tak ada dan kedai mereka hanya ada dua buah saja di Semenanjung Malaysia, macam mana nak tebus," katanya.

Dalam pada itu Ramli berkata operasi ini juga pihaknya turut merampas 13 kenderaan pelbagai jenis, wang tunai RM1,000, 13 utas rantai emas, dua bentuk cincin emas, 20 telefon bimbit, empat unit tablet, 17 komputer riba, lapan buku cek, 37 keping kad bank, 71 set pelbagai dokumen, 11 cop perniagaan, 17 kain rentang serta barangan disyaki berkaitan kegiatan penipuan.

"Pasukan siasatan AMLA setakat ini melaksanakan pembekuan mengikut AMLATFPUAA 2001 terhadap 34 akaun bank Unit Trust dengan nilai keseluruhan RM6,564,278,79.

"Tindakan penyitaan turut dibuat terhadap 13 kenderaan dengan nilai keseluruhan RM2,979,400.00 serta 2,143 ekor kambing baka shami/biri-biri," katanya dipetik sebagai berkata.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS