Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan sedia perbaiki kelompangan aktalompat parti - Anwar
Diterbitkan:  Jul 12, 2024 3:16 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Perdana Menteri  Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedia berbincang bagi meminda aktalompat parti untuk memperbaiki kelompangan yang terdapat dalam undang-undang itu.

Bercakap kepada pemberita, selepas menunaikan solat Jumaat di Surau An-Najah, Presint 9, di Putrajaya, hari ini, Anwar berkata, Pakatan Harapan (PH) pada 2022 pernah mengusulkan supaya pindaan dibuat kepada akta tersebut, namun ditolak oleh kerajaan ketika itu.

“Kalau dia nak pinda, kita boleh bincang,” katanya.

Menurut Anwar, PH pernah mencadangkan supaya mana-mana wakil rakyat yang dipecat atau dibuang oleh parti, mesti mengosongkan kerusi masing-masing, tetapi tidak disetujui oleh kerajaan masa itu yang turut dianggotai oleh Bersatu, PAS dan BN.

"Sebab dia masa tu orang Umno masuk parti dia, jadi bagi saya kalau nak pinda boleh, kita bincang supaya siapa sahaja (tidak terkecuali).

“Dahulu dia (pembangkang) menentang, ramai tak tahu," katanya.

Selasa lalu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.

Menurutnya, keputusan yang berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan itu dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Mereka yang berpaling tadah dan menyokong Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Keputusan itu dikritik pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang menyifatkan akta antilompat parti diluluskan di Parlimen sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah terbabit tidak hilang kerusi.

Turut membidas keputusan itu adalah ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Karim yang mendakwa speaker memutuskan berdasarkan kepentingan politik kepartian dan gagal menghormati asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS