Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selamat jahanamkan negara wahai katak politik - Pemuda Umno
Diterbitkan:  Jul 12, 2024 11:34 AM
Dikemaskini: 4:36 AM

Akta antilompat parti yang diluluskan di Parlimen menjadi sia-sia selepas wakil rakyat yang berpaling tadah tidak hilang kerusi, kata Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Mengulas keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi bekas ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan, secara sinis dia mengucapkan selamat menjahanamkan negara kepada “katak-katak politik”.

“Maka sia-sialah akta antilompat parti yang diminta oleh rakyat selama ini. Kestabilan politik hanya untuk kepentingan diri.

“Jangan marah jika rakyat benci pada orang politik. Selamat menjahanamkan negara wahai katak-katak politik,” kata exco Melaka yang juga Adun Merlimau itu dalam satu hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul membuat keputusan itu pada Selasa lalu.

Johari memutuskan tidak berlaku kekosongan kerusi disandang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Menerusi surat pemberitahuan, Johari memaklumkan tiada kekosongan kerusi berdasarkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.

Semalam, ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar Dewan Rakyat sebagai tanda membantah keputusan tersebut.

Protes itu diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang memberi ucapan Panjang mengkritik keputusan Johari, yang disifatkannya sebagai "salah" dan  "menjahamkan" Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Hamzah, selaku setiausaha agung dia ada kuasa untuk menentukan sama ada keanggotaan mana-mana ahli parti terlucut atau tidak.

Katanya, Johari sepatutnya mengikut langkah yang diambil Speaker  DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah, yang mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

Keputusan Johari turut dikritik ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR, Hassan Karim, menyatakan speaker memutuskan berdasarkan kepentingan politik kepartian yang gagal menghormati asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan.

Hassan Karim

Semalam, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San turut mengumumkan tidak berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi Selat Klang yang disandang Abdul Rashid Asari yang  mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, dikenali akta anti lompat parti berkuat kuasa pada Oktober 2022.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS