Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak ada kahwin, jangan kacau saya - Tengku Hassanal
Diterbitkan:  Jul 12, 2024 11:31 AM
Dikemaskini: 5:52 AM

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memohon orang ramai supaya menghormati keputusan dan kehidupan peribadi baginda lebih-lebih lagi melibatkan soal perkahwinannya kelak.

Kenyataan Tengku Hassanal itu sekali gus menafikan bahawa baginda akan menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat ini.

Tengku Hassanal menerusi hantaran di Instagram Story baginda berkata, ini kerana baginda memandang berat soal perkahwinan dan ia harus dibuat dengan teliti serta pada masa yang sesuai.

"Sebagai seorang putera raja dan waris ganti negeri, saya sangat menghargai keprihatinan dan minat yang ditunjukkan terhadap kehidupan peribadi saya oleh orang ramai.

"Saya memohon supaya keputusan berhubung hal peribadi dan privasi mengenai perkahwinan saya pada masa akan datang, dihormati.

"Saya percaya dalam bahagian hidup yang begitu penting, ia harus dibuat dengan teliti dan pada masa yang sesuai," titahnya.

Pada masa sama, Tengku Hassanal Ibrahim menegaskan buat masa ini baginda komited untuk berkhidmat kepada raja dan negara, dan akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

Dalam catatan seterusnya di Instagram, Tengku Hassanal menulis "No Wedding, takde (tak ada) kahwin" dan "Jangan kacau saya."

Tengku Hassanal, 28 menjadi perhatian ramai khususnya di kalangan wanita setiap kali mencemar duli bertemu rakyat.

Rata-rata yang hadir tidak melepaskan peluang bergambar dengan Tengku Hassanal.

Kelmarin tular video bonda Tengku Hassanal, berkaitan putera-puteranya yang akan melangsungkan perkahwinan.

Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyebut satu persatu berkaitan jangkaan bila putera-puteranya akan menamatkan zaman bujang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS