Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebut bahlol: Rafizi menteri, perlu jaga tutur kata - penganalisis

Pemerhati politik menegaskan menteri perlu menjaga standard dan menunjukkan budi pekerti yang baik bagi memenuhi jangkaan rakyat kepada kerajaan.

Ini berikutan kritikan terhadap Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menyebut perkataan “bahlol” dan “bodoh” ketika menyampaikan ceramah pada hari terakhir kempen pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini.

Ungkapan Rafizi yang juga timbalan presiden PKR itu ditujukan kepada pengkritik yang menyoal ‘formula’ kerajaan dalam menyelesaikan isu ekonomi.

Profesor sains politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid (gambar bawah) berkata perbuatan tidak sopan mencerminkan perwatakan yang kurang disenangi dalam kalangan masyarakat terhadap kerajaan.

“Memanglah kamu pandai, belajar di UK, namun kamu perlu merendah diri.

“Apabila perkataan-perkataan (kurang sopan) itu dihamburkan kepada masyarakat, kamu sebagai menteri tidak menunjukkan contoh yang bagus,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, pembangkang mendakwa ungkapan kasar Rafizi itu sebagai punca calon kerajaan perpaduan gagal meraih kemenangan di Sungai Bakap.

Sesetengah pengkritik juga berkata Rafizi celupar apabila berseloroh ingin membuat kejutan mengenai kenaikan harga petrol RON95.

“Kita tidak akan dedahkan rancangan kita, seperti mana kita kejutkan semua orang dengan diesel,” katanya kepada pemberita di acara Forum Ekonomi Dunia di Dalian, China.

Kata-kata Rafizi pada hari terakhir pendaftaran Padu juga dipetik pembangkang sebagai menimbulkan kontroversi.

“Aku dah penatlah. Ikut suka koranglah nak daftar, daftar. Tak nak daftar pun pandai-pandailah korang beraya,” kata Rafizi.

Sementara itu pensyarah Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM) Mohamad Tawfik Yaakub berkata sikap Rafizi tidak sama seperti pemimpin PH lain serta hanya mengulangi kesilapan segelintir pemimpin sewaktu BN terdahulu.

Emosi rakyat sensitif

“Lihat Tan Sri Lim Kit Siang, Anthony Loke, Saifuddin Nasution, Datuk Seri Wan Azizah tidak pernah keluarkan perkataan biadab yang dihamburkan dalam ceramah-ceramah mereka depan rakyat.

“Sikap beliau ini seolah olah mengulangi segelintir sikap pemimpin BN dahulu sebelum pembentukan kerajaan perpaduan sehingga menyebabkan rakyat menghumban pemimpin tersebut dalam pilihan raya,” jelasnya.

Tambahnya, walaupun bukan ditujukan kepada rakyat secara keseluruhannya, mereka memandang serius terhadap sikap mengherdik dengan perkataan kurang sopan.

Dia juga menyatakan emosi rakyat kini lebih sensitif dengan pelbagai isu semasa oleh kerana keadaan ekonomi yang membebankan.

Dalam pada itu Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Madya Dr Lau Zhe Wei (gambar atas) menegaskan jika Rafizi tidak mahu dipandang serong oleh rakyat, dia harus lebih bersikap sopan dalam mempertahankan dirinya apabila dikritik.

Lau berkata Rafizi juga perlu menghormati cadangan yang diberikan oleh pengkritik.

“Bila orang suarakan perkara yang tidak dipersetujui, dia perlu pertahankan dengan perkataan yang sopan dan menghormati orang lain.

“Buat justifikasi mengapa ideanya lebih tepat dengan menggunakan cara memujuk, meyakinkan, bukan menghina,” tegasnya.

Tak wajar banding Sanusi dan Rafizi

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata pihak yang mempertahankan sikap Rafizi tidak wajar membuat perbandingan antara menteri itu dengan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor.

Ahmad Fauzi menjelaskan situasi Rafizi dan Sanusi harus dibezakan dari segi komunikasi mereka dalam menyampaikan ideologi parti kepada rakyat.

Katanya kedua-dua mereka mewakili posisi berbeza, dengan Rafizi di pihak kerajaan persekutuan, manakala menteri besar Kedah itu pula di pihak pembangkang.

“Sanusi di pihak pembangkang, bentuk komunikasinya sesuai bersifat combative (menyerang) kerana dia menyuarakan kemarahan rakyat.

“Manakala Rafizi adalah suara kerajaan yang harus lebih bersifat menjelaskan dengan teknik pujukan, bukan hinaan dan merendahkan orang lain,” katanya.

Sebelum ini, Sanusi juga turut dikritik ramai kerana biadab dalam berkata-kata, mencarut dan bercakap lucah di pentas politik.

Ketika berceramah kempen PRK Pelangai di Felda Kemasul tahun lepas, Sanusi mengherdik tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee yang memetik terjemahan sepotong ayat al-Quran.

"Yang liberal ni dia kata sekurang-kurangnya dia (Howard) mengaji..kepala bapak hang...hang bodoh...

"Ni hangpa alif ba ta pun tak tahu...kote (anu) pun tak kerat," katanya pada majlis ceramah PN itu.

Sanusi sedang berdepan perbicaraan di mahkamah kerana didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berikut antara kenyataan Sanusi yang menimbulkan kontroversi itu:

"Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih menteri besar cokia macam Amir (Amirudin).

“Inci pun tak berapa cukup.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS