Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganalisis: PRK Nenggiri medan uji prestasi Umno

Selepas kekalahan calon Gabungan Perpaduan dalam PRK DUN Sungai Bakap, PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos nanti dijangka menjadi 'ujian berganda' buat kerjasama PH-BN, selain akan menjadi petunjuk prestasi Umno-BN khususnya.

DUN Nenggiri terletak dalam Kawasan Parlimen Gua Musang dan sejak sekian lama, Umno memonopoli pengaruh dan sokongan pengundi di Parlimen itu. Namun, 'gelombang hijau' pada PRU15 menyaksikan pahlawan mereka, Tengku Razaleigh Hamzah rebah dengan perbezaan undi tipis, iaitu 163 undi.

Jika PRK Sungai Bakap menjadi penanda aras sokongan semasa terhadap PH, Nenggiri bakal mengemas kini kedudukan terkini Umno-BN di hati pengundi.

Justeru, PRK Nenggiri adalah medan penting untuk Umno membuktikan mereka masih kuat dan membuktikan ahli akar umbinya tidak lagi 'merajuk’.

Tengku Razaleigh, atau mesra disapa Ku Li, sudah pun diangkat sebagai pengarah pilihan raya bagi PRK ini, menunjukkan Umno masih memerlukan aura dan sentuhan pemimpin veteran itu.

Dengan PN hanya menang tipis - majoriti 810 undi - pada PRN lalu, peluang masih terbuka untuk umno merampas Kembali kerusi DUN itu. Namun, pastinya ia tidak mudah di saat ada banyak isu pada masa ini yang boleh digunakan pembangkang.

Ku Li

Isu-isu nasional yang ditonjolkan PN semasa PRK Sungai Bakap dijangka terus menjadi rantaian bahan kempen dalam usaha pembangkang mempertahankan kerusi itu.

Penganalisis Politik Profesor Madya Mazlan Ali berpandangan PRK Nenggiri medan terbaik Umno menilai tahap sokongannya di kerusi majoriti Melayu.

"PRK Nenggiri akan menjadi penanda aras untuk kita lihat sama ada Umno boleh bangkit atau masih perlukan masa untuk memperbaiki pengaruh mereka.

"Berdasarkan dapatan saya perolehi dalam PRK Kuala Kubu Bharu dan Sungai Bakap, saya lihat sebenarnya wujud momentum peningkatan undi Melayu kepada PH-BN melibatkan penyokong Umno. Orang lain (mungkin) tak nampak.

“Walaupun PH kehilangan undi Cina (di Sungai Bakap), tetapi Umno menyumbangkan 60.5 peratus daripada pengundi putihnya kepada calon PH. Sebab itu calon PH mampu mengumpul undi melebihi 10,000, manakala kira-kira 39.5 peratus pengundi putih Umno mengundi PN.

“Jadi, sumbangan Umno sangat signifikan terhadap PH dalam dua PRK sebelum ini, sebagai membalas jasa pengundi PH yang memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Umno di PRK Pelangai,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Mazlan Ali

Terdapat 20, 256 pengundi berdaftar di DUN Nenggiri, membabitkan lebih 80 peratus pengundi Melayu, sekitar 0.3 peratus pengundi Cina dan selebihnya lain-lain kaum termasuk Orang Asli.

Mazlan yang merupakan pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu turut menegaskan PRK ini juga signifikan untuk melihat trend sokongan pengundi muda, di samping menguji reputasi PN khususnya Bersatu.

"Kita akan lihat sama ada trend sokongan pengundi muda terhadap PN berlaku di seluruh negara atau hanya di kawasan majoriti Melayu, seperti Pantai Timur dan utara semenanjung.

"Selain itu PRK ini menjadi satu ukuran kepada PN khususnya Bersatu selepas wakil rakyat mereka sebelum ini, Mohd Azizi Abu Naim menyatakan sokongan kepada kerajaan," katanya.

Dia turut membangkitkan kemungkinan PAS berhasrat untuk bertanding di sana, atas dasar ingin mengelakkan tindakan wakil rakyat menukar sokongan berulang.

Iktibar daripada Sungai Bakap

Penganalisis politik Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi turut berpendapat PRK Nenggiri adalah ujian penting bagi Umno atas beberapa faktor.

Antaranya,dia membangkitkan tahap kepercayaan dan pemulihan keyakinan rakyat kepada parti yang pernah sekian lama mengetuai pentadbiran negara itu.

“Keputusan PRK ini juga akan menunjukkan keberkesanan kepimpinan dan strategi yang akan digunakan oleh Umno dalam menarik sokongan pengundi.

“Ini termasuk bagaimana mereka menangani isu-isu tempatan dan nasional yang relevan kepada pengundi di DUN Nenggiri,” jelas pensyarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UM) itu.

Awang Azman Awang Pawi

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata Umno pastinya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dalam PRK Sungai Bakap dan tidak mahu berlakunya perkara yang boleh menjejaskan sokongan pengundi.

“Kemenangan pastinya akan meningkatkan moral dan semangat Umno, manakala kekalahan mungkin membawa kepada persoalan, belenggu, dilema dan kritik terhadap kepimpinan bawahan, pertengahan dan tertinggi parti,” katanya lagi.

Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Rusdi Omar pula berpandangan PRK Nenggiri adalah peluang untuk Umno memulihkan maruah di Kelantan selepas kalah besar pada PRN lalu.

Ujarnya, Umno wajib menang dan peluang itu memang ada jika mengambil kira konteks politik Gua Musang.

“Walaupun kawasan ini majoritinya pengundi Melayu, masyarakat di Gua Musang boleh dikatakan sebagai wala’. Keputusan pilihan raya lalu menunjukkan Umno masih mempunyai pengaruh, malah mereka menang di DUN Galas (dalam Parlimen Gua Musang).

“Umno perlu mempertaruhkan seorang calon yang popular dan dekat dengan masyarakat termasuk yang sentiasa bersama anak muda.

“Umno perlu all out kali ini. Kerjasama dengan jentera PH perlu lebih mantap dari segi keserasian dan gerak kerja kempen dalam usaha memberi penjelasan dan informasi berkenaan dasar kerajaan.

"Saya juga lihat Umno ada kelebihan jika PN meletakkan calon daripada Bersatu, berbanding PAS," katanya lagi.

Rusdi berkata PRK ini juga boleh menjadi ukuran untuk melihat jika Umno dalam keadaan bersedia untuk menghadapi PRU16.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS