Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan Rakyat petang tadi sebagai tanda membantah keputusan Yang di-Pertua Johari Abdul yang mengekalkan kerusi enam bekas ahli Parlimen Bersatu.

Protes itu diketuai Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin (PH-Larut) yang memberi ucapan Panjang mengkritik keputusan Johari, yang disifatkannya sebagai "salah".

Menurut Hamzah, selaku setiausaha agung dia ada kuasa untuk menentukan sama ada keanggotaan mana-mana ahli parti terlucut atau tidak.

"Saya nak beritahu kepada semua yang ada dalam Dewan Rakyat, mereka (enam MP) yang berubah tempat ke sebelah sana (kerajaan) masih mengaku jadi ahli Bersatu.

"Bermakna bila parti buat keputusan anda bukan lagi ahli, itu keputusan parti.

"Bukan tugas anda (Johari)...Ia tugas saya sebagai setiausaha agung (Bersatu)," kata Hamah.

Hamzah kemudian mengecam Johari, degan berkata keputusan yang dibuatnya berhubung status enam ahli Parlimen itu sebagai "menjahamkan" Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Johari sepatutnya mengikut langkah yang diambil Yang di-Pertua DUN Kelantan Mohd Amar Abdullah, yang mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

"Saya nak speaker (Johari) tahu yang ini keputusan salah. Anda perlu jadi non-partisan," katanya lagi.

Selepas ahli Parlimen pembangkang keluar dewan, mereka mengadakan sidang media untuk mengkritik keputusan Johari.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan turut mengumumkan mereka akan memakai kain lilit lengan putih di Parlimen minggu depan sebagai tanda protes.

Johari yang pada mulanya kelihatan terdiam dengan tindakan ahli Parlimen pembangkang, kemudiannya menjawab kritikan PN dengan berkata dia "bukan posmen".

"Saya bukan posmen. Apabila saya terima apa yang dihantar kepada saya, saya pastikan study semua sekali.

"Saya baca semua berhubung pindaan Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Saya ambil keputusan kekal (status ahli Parlimen), yang saya telah maklumkan kepada Beluran," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS